Campus

267 suara, satu ikrar, melakar masa depan gemilang

Gambar oleh: Pusat Asasi Pengurusan

Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2026/2027 (Kohort 13) anjuran Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung dengan jayanya melibatkan seramai 267 pelajar baharu.

Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Turut hadir ialah Encik Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad yang menjalankan fungsi Pendaftar UUM, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, barisan pengurusan universiti serta warga kerja PAP UUM.

Majlis Lafaz Ikrar ini menjadi detik penting yang menandakan permulaan rasmi perjalanan akademik para pelajar sebagai warga Universiti Utara Malaysia. Lafaz ikrar yang diucapkan melambangkan komitmen, kesungguhan dan kesediaan pelajar untuk menuntut ilmu dengan penuh integriti, amanah serta semangat kecemerlangan, selaras dengan aspirasi PAP dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing serta berupaya memimpin masa hadapan.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Azizuddin menyeru para pelajar agar memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik dan kokurikulum. Beliau turut menggalakkan pelajar untuk aktif dalam persatuan, aktiviti komuniti dan keusahawanan bagi membentuk sahsiah, kepimpinan serta daya saing yang tinggi.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, kecemerlangan akademik serta penghayatan nilai adab dan prinsip Universiti Utara Malaysia iaitu Ilmu, Budi dan Bakti sebagai panduan sepanjang tempoh pengajian.

Sementara itu, wakil pelajar baharu, Muhammad Irfan bin Mohd Redzwan, merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, Pusat Asasi Pengurusan serta jawatankuasa penganjur atas usaha dan komitmen dalam menjayakan majlis tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa majlis ini telah membantu pelajar baharu memahami tanggungjawab sebagai mahasiswa, di samping mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat kerjasama serta membina nilai kepimpinan dalam kalangan mereka.

Tahniah dan selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baharu Kohort 13. Pemilihan UUM sebagai destinasi permulaan pengajian merupakan langkah yang tepat untuk membina masa depan yang cemerlang.

Gunakanlah setiap peluang yang ada untuk menimba ilmu, memperluas pengalaman, membina jaringan persahabatan serta mengembangkan potensi diri dalam pelbagai bidang.

Semoga perjalanan di PAP UUM menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Teruskan melangkah dengan keyakinan, berusaha dengan penuh dedikasi dan jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk berkembang. – Anis Athirah Aisyah Ahmad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button