Temuduga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Zon Sarawak: UUM ringankan beban keluarga, pilih bakal guru berwibawa
Gambar oleh: Dr. Muhd Zulhilmi Haron
KOTA SAMARAHAN: Usaha School of Education, Universiti Utara Malaysia (SOE UUM) mengadakan sesi temuduga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Zon Sarawak mendapat sambutan positif daripada calon dan ibu bapa kerana inisiatif tersebut dilihat mampu mengurangkan beban kewangan serta memudahkan urusan kehadiran calon.
Sesi temuduga yang berlangsung di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (FPBK UNIMAS) itu melibatkan seramai 14 orang calon daripada tiga bidang pengajian, iaitu Bimbingan dan Kaunseling, Pengurusan Perniagaan serta Pendidikan Moral.

Panel temuduga terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof dan Dr. Muhd Zulhilmi Haron. Pelaksanaan temuduga di Sarawak ini merupakan satu pendekatan mesra calon yang bukan sahaja memudahkan urusan logistik, malah membantu ibu bapa mengurangkan kos perjalanan sekiranya perlu menghadiri temuduga di Semenanjung Malaysia.
Menurut Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof, sesi temuduga tersebut bertujuan memastikan calon yang dipilih benar-benar mempunyai kewibawaan, minat, sahsiah dan kesediaan untuk menjadi bakal guru yang berkualiti pada masa hadapan.
“Pemilihan calon guru bukan sekadar melihat pencapaian akademik, tetapi turut menilai sahsiah, komunikasi, keyakinan diri, kematangan berfikir dan kesungguhan mereka untuk menceburi bidang pendidikan,” katanya.

Seorang calon yang ditemui menyambut baik usaha SOE UUM mengadakan temuduga di Sarawak kerana langkah tersebut memudahkan calon tempatan untuk hadir tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi.
“Saya amat menghargai usaha UUM mengadakan sesi temuduga di Sarawak kerana ia memudahkan kami untuk datang dan menghadiri temuduga ini,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang bapa calon yang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai usaha yang sangat baik, khususnya dalam membantu keluarga dari Sarawak.
“Usaha UUM ini sangat baik kerana dapat mengurangkan beban kewangan kami untuk ke Semenanjung. Sebagai ibu bapa, kami sangat menghargai pendekatan seperti ini,” katanya.

Seorang lagi calon menyatakan harapan yang tinggi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di UUM. Beliau turut tertarik dengan keindahan kampus UUM di Sintok selepas membuat carian melalui internet.
“Saya sangat berharap agar dapat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di UUM. Saya juga tertarik dengan keindahan kampus UUM yang saya lihat melalui carian di internet,” katanya.
SOE UUM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS atas kerjasama, sokongan serta layanan mesra yang diberikan sepanjang pelaksanaan sesi temuduga tersebut.

Kerjasama strategik ini amat bermakna dalam memastikan proses temuduga berjalan dengan lancar, tersusun dan kondusif kepada calon serta panel.
Penganjuran temuduga Zon Sarawak ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada calon dari pelbagai wilayah, selain memastikan proses pemilihan bakal guru dilaksanakan secara lebih inklusif, berkesan dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
Inisiatif ini juga memperlihatkan kesungguhan SOE UUM dalam melahirkan bakal pendidik yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai, keperibadian dan daya kepimpinan yang diperlukan dalam profesion keguruan. – PM. Dr. Mat Rahimi Yusof



