Sistem Amaran Awal Pintar UUM perkukuh transformasi digital industri akuakultur
Gambar oleh: Media Sinar
SINTOK, 8 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda penyelidikan berimpak tinggi menerusi pembangunan sistem amaran awal pintar berasaskan Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi membantu industri akuakultur mengesan risiko kesihatan ikan lebih awal, sekali gus mengurangkan kadar kematian ternakan, meningkatkan produktiviti ladang dan menyokong keterjaminan makanan negara.
Inovasi menerusi projek penyelidikan An IoT-Enabled Temporal Early Warning System for Fish Health Management in Malaysian Aquaculture itu dibangunkan bagi menangani cabaran utama industri akuakultur seperti perubahan cuaca, kemerosotan kualiti air dan serangan penyakit yang sering menjejaskan hasil pengeluaran serta menyebabkan kerugian kepada penternak.

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Kolej Perniagaan UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Ghozali Hassan, berkata sistem berkenaan menggabungkan teknologi IoT dan AI bagi memantau keadaan kolam ternakan secara masa nyata serta meramalkan risiko sebelum ia menjadi kritikal.
“Sistem ini bukan sahaja merekod data, malah menganalisis corak perubahan untuk meramal risiko lebih awal supaya penternak dapat mengambil tindakan proaktif,” katanya.
Beliau berkata, sistem itu menggunakan rangkaian sensor untuk memantau parameter penting seperti kandungan oksigen terlarut, suhu, tahap keasidan (pH), saliniti, kekeruhan dan kandungan ammonia sebelum data dihantar ke platform pintar untuk dianalisis menggunakan model AI.

Menurutnya, analisis temporal yang diterapkan membolehkan sistem mengesan perubahan persekitaran dan memberi amaran beberapa jam atau beberapa hari lebih awal berbanding kaedah pemantauan konvensional yang lazimnya hanya mengesan masalah apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal.
“Amaran awal membolehkan penternak mengambil langkah seperti meningkatkan pengudaraan, melaraskan pemberian makanan atau menukar air kolam sebelum berlaku kematian ikan secara besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, malah menyokong amalan pengurusan berasaskan data, memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Tambah beliau, sekiranya berjaya divalidasi sepenuhnya dalam persekitaran ladang sebenar, sistem itu berpotensi menjadi model akuakultur pintar tempatan yang boleh diperluaskan ke seluruh negara, di samping membuka peluang kepada industri teknologi, penyelidik dan golongan belia untuk meneroka bidang agroteknologi bernilai tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan inovasi berimpak tinggi memerlukan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, Jabatan Perikanan Malaysia, pemain industri dan komuniti bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat diterapkan secara meluas demi memperkukuh daya saing industri akuakultur negara.
Pembangunan sistem amaran awal pintar ini mencerminkan komitmen UUM dalam menghasilkan penyelidikan yang relevan, inovatif dan berimpak kepada masyarakat serta industri, sekali gus menyokong agenda transformasi digital sektor agromakanan dan pembangunan mampan negara.



