Campus

Pelajar SMMTC perkukuh kesedaran kesihatan mental melalui kempen Uncage Your Mind

Berita dan gambar oleh:  Wan Nur Hidayah Wan Desa

SINTOK, 22 Jun 2026 – Pelajar kursus SCCAK2073 Perhubungan Awam Kumpulan A, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan kempen Uncage Your Mind, iaitu sebuah inisiatif kesedaran kesihatan mental yang menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dengan usaha meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma serta menggalakkan perbincangan terbuka mengenai isu kesihatan mental dalam kalangan warga kampus.

Menurut Dr. S. Maartandan Suppiah, kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) memberi peluang kepada pelajar berhadapan dengan keperluan, jangkaan dan cabaran sebenar dalam merancang serta melaksanakan kempen perhubungan awam.

Beliau berkata, kerjasama tersebut merupakan kali ketiga antara pelajar kursus Perhubungan Awam SMMTC dengan JKN Kedah, sekali gus mencerminkan kesinambungan hubungan strategik antara SMMTC dan agensi kerajaan dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman, industri dan komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan berterusan daripada Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, terhadap pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman serta penglibatan pelajar bersama agensi luar telah menjadi asas penting kepada kesinambungan usaha tersebut.

“Sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh Dekan SMMTC dalam menggalakkan pelajar melaksanakan pembelajaran di luar bilik kuliah, menjalinkan kerjasama dengan agensi luar serta melibatkan diri dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat telah menjadi asas penting kepada kesinambungan kerjasama ini.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan kempen, pelbagai aktiviti secara bersemuka dan digital telah dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman warga kampus mengenai isu kesihatan mental, di samping mengurangkan stigma serta menggalakkan individu mendapatkan bantuan awal apabila berdepan dengan cabaran emosi atau psikologi,” katanya.

Majlis Penutupan Uncage Your Mind disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Shareh Azizan. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan serta komitmen JKN Kedah terhadap usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan warga kampus, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara JKN Kedah, SMMTC dan UUM.

Sepanjang empat minggu pelaksanaan kempen, pelbagai aktiviti berimpak tinggi dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan warga kampus, antaranya Sunday is Green, Friday for Mental Health, Break the Silence: Mental Health Quiz, Video Challenge: Uncage Your Mind serta penerbitan podcast Are You Okay? yang menampilkan pakar dan wakil pelajar.

Salah satu episod podcast tersebut turut mencatat lebih 20,000 tontonan di TikTok, membuktikan keberkesanan media digital dalam menyampaikan mesej kesihatan mental.

Majlis penutupan kempen diserikan dengan dua sesi perkongsian bertajuk Di Sebalik Tawa Ada Luka dan Mencari Tenang di Tengah Kekalutan, diikuti forum yang menghimpunkan pakar psikiatri, pegawai psikologi serta perkongsian pengalaman individu yang pernah berdepan cabaran kesihatan mental bagi meningkatkan kefahaman dan mengurangkan stigma dalam kalangan peserta.

Kempen ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan mental, malah memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman dalam kalangan pelajar SMMTC menerusi kerjasama strategik dengan JKN Kedah. Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Good Health and Well-being serta SDG 17: Partnerships for the Goals.

Kempen yang berlangsung dari 24 Mei hingga 22 Jun 2026 itu diketuai oleh Nurul Auni Fatini bersama pelajar Perhubungan Awam Kumpulan A di bawah seliaan Dr. S. Maartandan Suppiah, Pensyarah Kanan SMMTC, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu perhubungan awam melalui pelaksanaan kempen kesedaran bersama rakan kolaborasi industri.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button