General

Khutbah Jumaat Khas OSH Week 2026 tekankan keselamatan psikososial warga UUM

Gambar oleh: Pusat Islam UUM

SINTOK, 12 Julai 2026: Sempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2026, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Khutbah Jumaat Khas bertemakan “150 Tahun Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – Bersama Memastikan Persekitaran Psikososial Kerja Yang Sihat” di Masjid Sultan Badlishah, UUM pada 10 Julai lalu.

Khutbah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Mohd Yusnaidi Md. Sabri menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja melibatkan aspek fizikal, malah merangkumi kesejahteraan psikososial yang selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara nyawa (Hifz al-Nafs) dan akal (Hifz al-‘Aql).

Beliau turut menghuraikan kepentingan mengenal pasti dan menangani hazard psikososial di tempat kerja seperti beban kerja berlebihan, komunikasi yang tidak berkesan, buli, gangguan seksual, diskriminasi, konflik organisasi serta tekanan emosi yang berpanjangan kerana faktor-faktor tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan mental, produktiviti dan keharmonian organisasi.

“Semua ini, jika dibiarkan, boleh melahirkan suasana kerja yang tidak sihat. Pekerja menjadi takut bersuara, hilang motivasi, hubungan menjadi tegang, kesilapan semakin meningkat, produktiviti menurun, dan organisasi kehilangan keberkatan kerana manusia tidak lagi dilayan dengan adil dan beradab,” tegas beliau.

Dalam khutbah tersebut, beliau turut mengingatkan bahawa majikan, pekerja dan rakan sekerja memikul amanah bersama dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat melalui sistem kerja yang adil, komunikasi berhemah, saluran aduan yang selamat, pematuhan terhadap peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta budaya saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

Beliau turut mengajak seluruh warga UUM menjadikan OSH Week 2026 sebagai platform muhasabah untuk memperkukuh budaya kerja yang selamat, sihat dan berperikemanusiaan, bukan sahaja bebas daripada kemalangan fizikal tetapi juga daripada tekanan melampau, buli dan amalan yang menjejaskan kesejahteraan psikososial.

Penganjuran khutbah khas ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UUM sempena OSH Week 2026 bagi memperkukuh pembudayaan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di kampus.

Teks khutbah disediakan oleh Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), dan turut dibacakan oleh khatib bertugas di Masjid Imam As-Syafie, Bukit Kachi. – Bahagian Pengurusan Risiko, UUM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button