Campus

Program minum malam @ masjid santuni mahasiswa hadapi peperiksaan akhir semester A252

Gambar oleh: Pusat Islam UUM

SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) komited dalam memperluas agenda kebajikan mahasiswa menerusi penganjuran Program Minum Malam @ Masjid Sultan Badlishah UUM sepanjang minggu peperiksaan akhir Semester A252.

Program yang menjadi antara inisiatif kebajikan tahunan Pusat Islam ini menyediakan makanan ringan dan minuman kepada mahasiswa yang mengulang kaji pelajaran di masjid pada waktu malam.

Selain membantu memenuhi keperluan mereka ketika menghadapi peperiksaan, program ini turut mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan kebajikan warga kampus.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, berkata program tersebut merupakan manifestasi keprihatinan terhadap kesejahteraan mahasiswa, di samping menyemarakkan budaya saling membantu dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.

“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mahasiswa yang sedang berdepan dengan musim peperiksaan, sekali gus menyuntik semangat untuk mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Pada masa yang sama, kami mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama menyumbang agar lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat daripada program kebajikan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap sumbangan yang diterima daripada para penyumbang disalurkan sepenuhnya bagi menyediakan makanan dan minuman kepada mahasiswa.

Ini membuktikan bahawa amalan bersedekah mampu memberi impak besar kepada kebajikan warga kampus.

Pusat Islam UUM merakamkan setinggi ucapan penghargaan kepada semua penyumbang yang sentiasa menyokong pelaksanaan program kebajikan mahasiswa.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk terus menghulurkan sumbangan supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai mahasiswa yang memerlukan sepanjang musim peperiksaan.

Program Minum Malam @ Masjid menjadi antara usaha berterusan Pusat Islam UUM dalam memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat pembangunan insan, kebajikan dan pembudayaan ilmu, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang cemerlang dari aspek akademik, sahsiah dan kerohanian. – Nor Azlinah Zaini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button