Campus

STML UUM dan UNJ perkukuh jaringan global, jayakan inisiatif kelestarian alam di Kepulauan Seribu

Berita dan gambar oleh: Nur Shamimi Ayuni Mohamad Baki

JAKARTA, 18 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi kolaborasi strategik bersama Universitas Negeri Jakarta (UNJ) yang berlangsung dari 13 hingga 18 Julai lalu, melibatkan pengukuhan kerjasama akademik serta pelaksanaan inisiatif kelestarian alam di Kepulauan Seribu, Jakarta, Indonesia.

Program lawatan kerja selama enam hari itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas jaringan antarabangsa kedua-dua institusi, di samping menyokong pemeliharaan ekosistem marin melalui aktiviti khidmat masyarakat berimpak tinggi.

Delegasi STML UUM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi yang memulakan agenda rasmi menerusi sesi perbincangan meja bulat bersama Pejabat Antarabangsa UNJ.

Pertemuan strategik ini bertujuan merangka dan menyelaras halatuju pengantarabangsaan bagi kedua-dua institusi.

Turut hadir ialah Vice Rector for Collaboration and Business UNJ, Dr. Andy Hadyan, serta Pengarah Pejabat Antarabangsa UNJ, Rahmat Darmawan.

Perbincangan tersebut membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik termasuk mobiliti pelajar, pertukaran kepakaran akademik serta penyelidikan rentas sempadan yang diyakini mampu meningkatkan kecemerlangan dan keterlihatan global kedua-dua universiti.

Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal berkata, kerjasama berterusan antara UUM dan UNJ bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik, malah menjadi platform membina jaringan penyelidikan serta melahirkan graduan yang memiliki perspektif global dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam.

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam menggabungkan kecemerlangan akademik dengan tanggungjawab sosial dan kelestarian, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan di peringkat serantau,” katanya.

Selain agenda akademik, delegasi turut melaksanakan program khidmat masyarakat antarabangsa di Kepulauan Seribu melalui sesi perkongsian ilmu mengenai kelestarian alam bersama komuniti setempat.

Program tersebut diterjemahkan menerusi dua inisiatif utama iaitu penanaman pokok bakau sebagai langkah mengurangkan hakisan pantai serta memperkukuh perlindungan kawasan pesisir daripada impak perubahan iklim, selain projek konservasi terumbu karang bagi memelihara biodiversiti marin dan menyokong kelestarian ekosistem laut.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa yang memberi impak kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan masyarakat, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya berkaitan tindakan terhadap perubahan iklim dan pemuliharaan ekosistem marin.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button