Campus

Program memasak bubur asyura SEFB eratkan silaturahim dan semarakkan semangat kebersamaan

Gambar oleh: Muhd Syazwie Solihin

SINTOK, 21 Julai 2026: Jawatankuasa Kebajikan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura bertempat di Dapur Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia.

Program ini merupakan salah satu aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh ukhuwah serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga staf SEFB.

Sepanjang program berlangsung, warga SEFB telah berganding bahu dalam proses penyediaan bahan, memasak, membungkus dan mengedarkan bubur Asyura.

Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga SEFB untuk bekerjasama dalam suasana yang santai dan harmoni, malah turut menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat saling membantu.

Sebanyak 160 pek bubur Asyura telah berjaya disediakan dan diedarkan kepada kakitangan SEFB, warga Pusat Islam serta komuniti setempat. Pengagihan tersebut diharapkan dapat berkongsi rezeki dan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat sekitar.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa serta warga SEFB yang telah menyumbangkan tenaga, masa, bahan dan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta membudayakan semangat kebajikan dalam kalangan warga SEFB. – Norzahirah Mat

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button