Audit Bertema MQA perkukuh usaha UUM mengekalkan status swaakreditasi
Gambar oleh: Unit Foto, JKK
SINTOK, 23 Julai 2026 – Kejayaan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengekalkan status swaakreditasi pada tahun 2025 terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya kualiti apabila menerima Lawatan Audit Bertema Quality Assurance and Enhancement oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memberi tumpuan kepada aspek jaminan kualiti dan penambahbaikan akademik.
Audit yang berlangsung di Bilik Mesyuarat LPU, UUM itu menilai sistem tadbir urus akademik, pelaksanaan jaminan kualiti dalaman serta amalan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan oleh universiti bagi memastikan standard akademik sentiasa dipertingkatkan selaras dengan kehendak Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan piawaian MQA.

Panel audit diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Shukor Abd. Razak dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), bersama ahli panel, Prof. Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Encik Mohd. Khairul Nizam Ibrahim dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) .
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, audit berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan terhadap standard kualiti, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh sistem jaminan kualiti akademik serta membudayakan amalan penambahbaikan berterusan di seluruh universiti.
Beliau berkata, UUM komited memastikan sistem jaminan kualiti dalaman dilaksanakan secara sistematik, telus dan berasaskan bukti melalui pemantauan prestasi akademik, semakan kurikulum, maklum balas pihak berkepentingan serta tindakan susulan yang dinilai secara berterusan.

“UUM melihat audit ini bukan sekadar suatu proses pematuhan terhadap keperluan standard kualiti, tetapi sebagai mekanisme penting untuk memperkukuh budaya kualiti, meningkatkan keberkesanan tadbir urus akademik serta memastikan setiap penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada pengalaman pembelajaran pelajar dan kecemerlangan institusi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Panel Audit MQA, Prof. Ts. Dr. Shukor Abd. Razak berkata, UUM telah menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang amat baik sepanjang proses audit apabila semua dokumen dan bukti yang dikemukakan disediakan secara teratur serta memenuhi garis panduan dan standard yang ditetapkan oleh MQA.
“Kami bukan sahaja menilai tahap pematuhan terhadap keperluan jaminan kualiti, malah turut mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diketengahkan di peringkat kebangsaan dan dijadikan penanda aras kepada institusi pengajian tinggi lain,” katanya.

Dalam sesi penutup audit, Prof. Dr. Ahmad berkata, UUM menerima segala dapatan, pemerhatian, teguran dan syor penambahbaikan yang dikemukakan oleh panel audit secara terbuka dan profesional sebagai asas untuk terus memperkukuh sistem jaminan kualiti akademik universiti.
“UUM mengambil tindakan susulan terhadap setiap syor yang dikemukakan dan melaksanakan penambahbaikan secara sistematik serta secepat mungkin agar UUM terus berada pada landasan kecemerlangan dan mampu mengekalkan standard swaakreditasi yang diiktiraf,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Azizuddin Mohd. Sani; Penolong Naib Canselor, Kolej Sastera dan Sains (CAS); Pengarah Pusat Swaakreditasi UUM, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; ketua-ketua Pusat Tanggungjawab; serta delegasi MQA.



