Pelantikan TS. Dr. Noraisah Spahat perkukuh kecemerlangan dan sinergi strategik UUM-KPT
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil
SINTOK, 26 Julai 2026 – Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu, Ts. Dr. Noraisah binti Spahat, menghadiri sesi suai tugas bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai struktur tadbir urus, pengurusan serta hala tuju strategik universiti sebagai persediaan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam LPU.
Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang menzahirkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Ts. Dr. Noraisah atas pelantikan beliau sebagai Ahli LPU.

Beliau berkata, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Ts. Dr. Noraisah diyakini mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh kecemerlangan UUM, khususnya dalam aspek tadbir urus, pembangunan strategik serta pengurusan universiti.
“UUM berharap pelantikan Ts. Dr. Noraisah akan terus memperkukuh kecemerlangan universiti, di samping mengeratkan hubungan strategik antara UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Hubungan erat ini amat penting dalam menyokong pelaksanaan dasar serta pembangunan pendidikan tinggi negara,” katanya.
Beliau turut berharap sinergi yang lebih kukuh antara UUM dan KPT akan diterjemahkan melalui penglibatan aktif dalam mesyuarat, program dan pelbagai aktiviti universiti yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar UUM, Encik Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad, telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai tadbir urus universiti kepada Ts. Dr. Noraisah.
Taklimat tersebut merangkumi pengenalan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, struktur dan fungsi LPU, jawatankuasa-jawatankuasa di bawah LPU, tatacara mesyuarat serta aspek berkaitan pengurusan dan pentadbiran universiti.
Sesi suai tugas itu memberi peluang kepada Ts. Dr. Noraisah untuk memperoleh gambaran menyeluruh mengenai peranan dan tanggungjawab Ahli LPU, sekali gus memperkukuh kesediaan beliau dalam menyumbang idea serta pandangan strategik ke arah merealisasikan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka.
Turut hadir, Pensihat Undang-undang UUM, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed, Pengarah Canselori, Encik Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan pegawai-pegawai UUM.



