SCIMPA menyokong proses pengantarabangsaan melalui bengkel penerbitan bersama Universitas Islam Indonesia
Teks dan Gambar: Thirukaliarasan
SLEMAN, 10 Julai 2026 – Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Faculty of Socio-Cultural Sciences, Universitas Islam Indonesia (UII) menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Akademik selama lima hari bagi menghasilkan sebuah penerbitan bersama yang memfokuskan pengalaman mobiliti pelajar dan staf antara kedua-dua universiti.
Bengkel yang berlangsung dari 6 hingga 10 Julai 2026 itu bertemakan “Beyond Borders, Beyond Classrooms: Student and Staff Mobility Experiences between Universitas Islam Indonesia and Universiti Utara Malaysia in Communication, Creative Industries, Management, and Performing Arts”.

Program ini menghimpunkan ahli akademik daripada kedua-dua institusi untuk menghasilkan manuskrip buku secara kolaboratif sebagai platform perkongsian amalan terbaik dan pengalaman pengantarabangsaan.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta menyediakan rangka bab dan draf manuskrip, menyumbang penulisan secara bersama, bertindak sebagai pakar rujuk mengikut bidang kepakaran seperti filem, muzik, animasi, realiti lanjutan (XR), reka bentuk dan industri kreatif, di samping memberikan ulasan akademik bagi memperkukuh kualiti setiap manuskrip sebelum diterbitkan.

Menurut Ketua Delegasi SCIMPA, Encik Mohd. Amir Abu Seman @ Ismail, buku tersebut akan mengetengahkan pelbagai aspek penting pengalaman mobiliti antarabangsa, termasuk usaha pengantarabangsaan universiti, peluang pembelajaran di luar bilik kuliah, pengalaman pertukaran budaya, pembangunan kompetensi pelajar serta cabaran yang dihadapi sepanjang mengikuti program pertukaran.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Industri Kreatif dan Kelestarian Budaya (ICIMSC) Dr. Asmidah Alwi, UUM mencadangkan agar manuskrip tersebut diterbitkan melalui UUM Press bagi memanfaatkan proses penerbitan yang lebih tersusun serta memenuhi standard penerbitan akademik universiti.
Penerbitan buku ini dijangkakan dapat disiapkan dalam tahun ini sebagai rujukan kepada institusi pengajian tinggi yang ingin memperkukuh pelaksanaan program mobiliti pelajar dan staf, sekali gus menjadi pemangkin kepada kerjasama akademik yang lebih erat antara UUM dan UII pada masa hadapan.



