Education

Dr. Syamsul Hirdi Muhid menyampaikan ucapan utama di Seminar Antarabangsa Universitas Islam Indonesia

Berita dan gambar oleh: Thirukaliarasan

SLEMAN, 9 Julai 2026 – Meningkatkan kesedaran dan kepentingan menjada alam sekitar dalam konteks kreatif industri, Fakulti Sains Sosio-Budaya, Universitas Islam Indonesia (UII) telah menganjurkan sebuah seminar antarabangsa bertajuk Navigating the (Uncertain) Future: How Digital Media Helps Humanity Address Environmental Challenges.

Seminar tersebut meneroka peranan media digital kontemporari, termasuk platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X, dan YouTube, dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar, menggalakkan amalan mampan, serta menangani isu-isu alam sekitar yang mendesak.

Sebahagian daripada pengisian seminar berkenaan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SCIMPA, Dr. Syamsul Hirdi Muhid, telah dijemput untuk menyampaikan ucapan utama beliau yang bertajuk Navigating Environmental Crises in the Malaysian Entertainment Industry from an Economic Perspective.

Dr. Syamsul menjelaskan bahawa peralihan industri kreatif khususnya dalam sektor muzik daripada media fizikal kepada penstriman digital telah mengurangkan sisa plastik berkaitan CD dan DVD secara signifikan.

Walau bagaimanapun, peralihan ini turut membawa cabaran alam sekitar baharu ekoran peningkatan permintaan tenaga oleh pusat data, storan awan (cloud storage), dan penstriman dalam talian berterusan.

Merujuk kepada teori ‘Kemusnahan Kreatif’ (Creative Destruction) oleh Joseph Schumpeter, beliau menyatakan bahawa inovasi teknologi kerap menggantikan sistem lama dengan alternatif yang lebih maju. Walau bagaimanapun, tanpa perancangan yang mampan, inovasi sedemikian mungkin sekadar memindahkan beban alam sekitar dan bukannya menghapuskannya.

Beliau menegaskan bahawa masa depan industri kreatif di Malaysia sepatutnya dipacu oleh pengaplikasian renewable energy, pembangunan infrastruktur digital hijau, serta penghasilan kandungan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Beliau turut menekankan bahawa kemajuan teknologi mestilah seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar jangka panjang.

Sementara itu, Dr. Iwan Awaluddin Yusuf dari Jabatan Komunikasi, Universitas Islam Indonesia, mengetengahkan peranan Kumpulan PANDAWARA, iaitu sebuah gerakan alam sekitar yang diterajui belia Indonesia dan diasaskan oleh lima aktivis muda dari Bandung.

Beliau menjelaskan bahawa PANDAWARA memanfaatkan media sosial sebagai platform strategik untuk mempromosikan kelestarian. Ini dilakukan melalui pendedahan serta pendidikan awam mengenai isu alam sekitar, advokasi tindakan iklim, mobilisasi komuniti bagi inisiatif alam sekitar, sokongan usaha pemuliharaan menerusi dana awam (crowdfunding), galakan aduan awam berkenaan masalah alam sekitar, serta promosi data terbuka alam sekitar demi meningkatkan ketelusan dan penyertaan masyarakat.

Seminar ini telah menyediakan platform penting bagi para akademik dan penyelidik dari Malaysia serta Indonesia untuk bertukar fikiran tentang bagaimana media digital boleh menyumbang dalam menangani cabaran alam sekitar masa kini di samping mempromosikan pembangunan mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button