Campus

IBS UUM realisiasikan impian pelajar SMA Islah menerusi lawatan akademik ke UUM

Gambar oleh: Muhammad Zairul Haqimi bin Sapak dan Mohd Aizuddin bin Amir Hamzah

SINTOK, 27 Julai 2026: Dalam usaha membuka horizon pemikiran dan menyuntik semangat kecemerlangan akademik, seramai 55 orang pelajar Tingkatan Lima bersama empat guru pengiring dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Islah, Pendang telah menyertai program lawatan akademik ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 23 Julai 2026.

Program lawatan ini dijalankan bagi memberi pendedahan awal dan komprehensif mengenai laluan serta peluang menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi, khususnya di kampus hijau UUM.

Rombongan tiba di Anjung Tamu UUM tepat pada pukul 9.00 pagi sebelum dibawa oleh Mejar (B) Norzilah binti Haji Aziz dan Cik Iylia mengelilingi sekitar kampus yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.

Pendedahan eksklusif ini memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat sendiri infrastruktur kelas pertama serta merasai suasana pembelajaran dan gaya hidup kondusif seorang mahasiswa di menara gading.

Seusai sesi lawatan kampus, para pelajar bergerak ke Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 2/2 bagi mengikuti pengisian utama iaitu sesi taklimat “Jom Masuk UUM”.

Sesi penerangan ini telah disampaikan oleh dua panel jemputan iaitu Encik Mohd Idzwan bin Yacob dari Pusat Asasi Pengurusan UUM dan Dr. Asma Nurul ‘Aqilah binti Mahpuz dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM.

Penerangan yang padat dan informatif merangkumi syarat-syarat kemasukan, keistimewaan program asasi, serta prospek kerjaya luas yang ditawarkan di bawah naungan IBS dan UUM telah dijalankan dalam suasana yang interaktif.

Bagi mengubah stigma pembelajaran yang membosankan, sesi ini diserikan dengan selingan aktiviti permainan (games) serta pemberian hadiah istimewa kepada para pelajar yang aktif.

Pendekatan kreatif ini secara langsung memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada mereka bahawa proses pengajaran dan pembelajaran di universiti bersifat dua hala, dinamik, dan menyeronokkan.

Lebih menarik, sesi ini turut diperkasakan dengan kehadiran dua orang mahasiswa IBS, Mohd Aizuddin bin Amir Hamzah dan Muhammad Zairul Haqimi bin Sapak.

Perkongsian realiti kehidupan kampus dan tips kecemerlangan daripada kedua-dua pelajar ini berjaya mewujudkan suasana yang santai, sekaligus menjadikan mereka sebagai ikon inspirasi dan rakan pembimbing kepada pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara keseluruhannya, program lawatan ini memberikan impak yang amat positif dalam membakar semangat calon-calon SPM SMA Islah untuk meneruskan perjuangan akademik mereka.

Pendedahan secara langsung ini bukan sahaja berjaya mempromosikan UUM dan IBS sebagai institusi pengajian tinggi pilihan utama, malah meninggalkan kenangan dan motivasi yang mendalam kepada para pelajar untuk menjejaki kaki ke universiti kelak.  -Dr. Asma Nurul ‘Aqilah binti Mahpuz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button