Program gotong-royong dan santai pengetua bersama warga kerja INASIS MISC
Berita dan gambar oleh: INASIS MISC
SINTOK, 26 Julai 2026: Semangat kerja berpasukan yang diterapkan oleh pihak universiti terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan warga kerja di INASIS MISC.
Sejajar dengan hasrat tersebut, INASIS MISC telah menganjurkan Program Gotong-Royong dan Santai Pengetua Bersama Warga Kerja INASIS MISC 2026 yang dimulakan dengan sesi senam zumba.

Program ini dihadiri oleh staf pentadbiran, staf sektor pencucian UUM Property di INASIS MISC serta turut disertai oleh warga kerja dari INASIS BSN.
Melalui slot zumba, Nur Asna Izzati Azizan, Jurulatih Zumba UiTM, mengetuai sesi senaman bersama para peserta sebelum aktiviti gotong-royong dijalankan.

Menurut Pengetua INASIS MISC, Cik Siti Norlia Mazlan, program gotong-royong ini merupakan persediaan awal sebelum kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan dan pembersihan bilik pelajar dilaksanakan selepas pelajar menyerahkan kunci bilik sempena cuti Semester A252 pada 25 Julai 2026.
Beliau berkata, kerjasama erat antara pelbagai pihak amat penting bagi memastikan setiap matlamat dan perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta berjalan lancar seperti yang dirancang.
INASIS MISC bersama pihak universiti sentiasa komited dalam memastikan aspirasi universiti untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka menerusi slogan “To Be an Eminent Management University” dapat direalisasikan.



