Pensyarah IBS perkukuh kepakaran melalui muzakarah cendekiawan Syariah Nusantara 2026
Berita dan gambar oleh: Dr Siti Hajar Salwa Ahmad Musadik
SABAH, 19 – 22 Julai 2026: Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menyertai Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2026 yang berlangsung di Hilton Hotel, Sabah pada 19 hingga 22 Julai 2026.
Muzakarah tersebut telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia. Program ini menghimpunkan kira-kira 350 peserta dari seluruh Nusantara dan Asia, termasuk Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Kehadiran para ilmuwan, ahli akademik, pengamal industri serta pihak berkepentingan memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkasa ekosistem kewangan Islam yang berteraskan pematuhan Syariah.
Muzakarah pada kali ini membawa tema Memperkasa Pematuhan Syariah dalam Sistem Kewangan Islam dengan memberi tumpuan kepada empat isu utama.
Perbincangan meliputi hajah dan darurah dalam konteks al-i‘anah ‘ala al-ma‘siyah atau membantu dalam pelaksanaan perkara yang dilarang oleh syarak; cadangan parameter al-i‘anah ‘ala al-ma‘siyah bagi sektor perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam; konsep ghalat menurut perspektif Syariah dan perundangan; serta kaedah rektifikasi situasi ghalat bagi ketiga-tiga sektor tersebut.
Penyertaan dalam muzakarah sebegini amat penting dalam memastikan para pensyarah sentiasa mengetahui perkembangan ilmu semasa, isu terkini dan perubahan dalam bidang kepakaran masing-masing.
Pendedahan secara langsung kepada perbahasan ilmiah, pandangan cendekiawan Syariah serta pengalaman pengamal industri dapat memperkukuh kefahaman akademik dan menyokong penyampaian ilmu yang lebih relevan kepada pelajar.

Penguasaan pensyarah terhadap maklumat dan perkembangan terkini merupakan aspek penting bagi memastikan pelajar menerima informasi semasa serta tidak ketinggalan dalam bidang yang dipelajari.
Dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara lebih dinamik, kontekstual dan selari dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang kewangan Islam yang sentiasa berkembang.
Sebagai tenaga akademik institusi pengajian tinggi, pensyarah perlu keluar daripada lingkungan rutin bagi menambah baik jati diri, kemahiran insaniah dan personaliti.
Penglibatan dalam platform profesional seperti muzakarah ini turut membuka ruang untuk membina jaringan serta hubungan strategik dengan pihak industri dan rakan akademik serantau. Hubungan tersebut penting bagi memastikan kandungan pengajaran dan pembelajaran sentiasa selari dengan keperluan semasa industri.
Pengalaman yang diperoleh juga diharapkan dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan pensyarah untuk terus memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam usaha membina kemerjadian pelajar di peringkat pengajian tinggi.

Turut hadir bersama ialah Dr. Noraini Yusuff, Dr. Amirul Haqeem dari IPIZ dan PM Dr. Muhammad Noor Habibi mewakili LZNK.
IBS merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk menghantar wakil ke muzakarah tahunan ini, yang diyakini memberi manfaat besar kepada pembangunan profesional warga akademik serta institusi secara keseluruhannya.



