Kolaborasi Pengurusan TVET UUM bersama 10 rakan strategik dimulai dengan majlis penyerahan surat hasrat
Berita dan gambar oleh: Hana Fatimah Binti Kamarul Bahrin
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2026 – Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama industri menerusi Majlis Penyerahan Surat Hasrat Bersama 10 Rakan Strategik pada jam 10 pagi di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL).
Majlis ini menjadi satu lagi langkah signifikan dalam memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri.

Inisiatif ini turut membuktikan komitmen Pengurusan TVET UUM dalam menyediakan platform yang mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta memenuhi kehendak industri semasa.
Seramai 10 wakil syarikat telah mengunjungi UUMKL untuk menjalinkan hubungan kerjasama strategik bersama Pengurusan TVET UUM: Chairman Rinani Group Berhad, Dato’ Seri Azerai Ahmad, CEO Weldzone Skills Academy Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Syukri Abdul Aziz, CEO Integrated Development and Advancement of Leadership Berhad (Ideal Berhad), Dr. Zaharudin Othman, CEO Wan Energy Solution Sdn. Bhd., Dr. Wan Nor Hami Bin Wan Isa, CEO Eightnite Sdn. Bhd., Normen Mukthar, CEO Duyufurrahman Travel & Tours Sdn. Bhd., Wan Hakimi Bin Wan Isa, Pengarah Akademi Media Jaya, Florence Lee, Pengarah Unifilm Studio UUM, Bahiyah Md. Idris, COO Sri Urkeed Holdings Sdn. Bhd., Siti Zaharah Idris dan Pengarah Pusat Budaya Dan Seni UUM, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar.

Kolaborasi yang dimeterai ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan warga akademik dan komuniti melalui pelaksanaan latihan industri, pembangunan kurikulum, program pensijilan profesional, pemindahan teknologi serta pelbagai aktiviti pembangunan bakat yang selaras dengan keperluan sektor industri.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Muhammad Shakir Eiman Bin Bahari, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts Dr. hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad, ucapan pembukaan majlis oleh Prof. Dr. Norlena Binti Hasnan. Acara diteruskan dengan sesi Penyerahan Surat Hasrat dan Sijil Rakan Strategik kepada semua serta sesi penggambaran rasmi.
Kerjasama yang dijalin ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan antara universiti dan industri dalam membangunkan ekosistem TVET yang lebih mampan, inovatif dan relevan.
Di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan, kolaborasi ini turut menyokong aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian dan ekonomi masa hadapan.



