Education

Audit Kualiti Dalaman perkukuh kecemerlangan akademik Pusat Pengajian Undang-Undang

Gambar oleh: Ahmad Termizi Othman

SINTOK, 29 Julai 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah menjalani sesi Audit Kualiti Dalaman pada 29 Julai 2026 bagi memastikan kualiti program akademik serta proses kerja yang dilaksanakan sentiasa mematuhi keperluan dan amalan terbaik universiti.

Kumpulan audit diketuai oleh Ts. Dr. Mathivannan (SBM) selaku Ketua Juruaudit. Turut menganggotai pasukan audit ialah Dr. Nor Syahidah Ishak (IBS) dan Prof. Madya Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi (SOIS) sebagai Juruaudit, manakala Dr. Siti Noorjannah Abd. Halim (SBM) hadir sebagai Pemerhati.

Sesi audit dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Dekan dan Pengerusi-Pengerusi Program. Turut terlibat dalam sesi tersebut ialah Jawatankuasa Kualiti dan Akreditasi SOL.

Selain itu, tiga orang pensyarah yang dipilih sebagai wakil akademik turut hadir sebagai auditee bagi memberikan maklumat dan input berkaitan pelaksanaan program akademik serta amalan pengajaran dan pembelajaran.

Sepanjang sesi audit, panel telah meneliti pelbagai aspek berkaitan pengurusan akademik, proses penyampaian kuliah, pentaksiran kursus serta aktiviti penambahbaikan berterusan (CQI) yang dijalankan di SOL.

Audit Kualiti Dalaman ini bertujuan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program akademik, memastikan pematuhan terhadap dasar dan prosedur universiti serta mengenal pasti ruang penambahbaikan yang dapat meningkatkan mutu penyampaian  akademik.

Audit ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya kualiti dan amalan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga akademik dan pentadbiran.

Melalui sesi ini, panel audit telah memberikan maklum balas serta cadangan yang membina untuk membantu SOL memperkukuhkan lagi pengurusan akademik dan proses kerja sedia ada. Hasil dapatan audit akan dijadikan panduan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan memastikan pengalaman pembelajaran yang berkualiti kepada para pelajar.

Pihak Pusat Pengajian Undang-Undang, khususnya Dekan, dalam sesi penutup audit merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan juru audit yang diketuai oleh Ts. Dr. Mathivannan atas komitmen, kerjasama dan pandangan profesional yang diberikan sepanjang sesi audit berlangsung.

Tidak lupa juga kepada semua pensyarah dan staf yang telah memberi kerjasama sepanjang audit berlangsung. Audit ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan budaya kualiti dan memastikan proses kerja akademik dilaksanakan secara berkesan demi kecemerlangan institusi.  – Dr. ‘Ain Husna Mohd Arshad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button