Campus

Program cyntok bhatik perkasa komuniti KEMAS dengan kemahiran penghasilan batik cop DIY

Berita dan gambar oleh: Dr. Asmidah Alwi

Padang Terap, Kedah, 28 Julai 2026: Seramai 20 peserta di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Padang Terap telah menyertai Program Pendedahan Penghasilan Batik Terap (Cyntok Bhatik) yang dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Jabatan KEMAS Daerah Padang Terap, Liyana Batique Collections dan Institut Pengurusan Industri Kreatif dan Budaya Lestari (ICIMSC), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif & Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program yang diadakan di Pusat Komuniti Kreatif Kampung Lebai Saman ini bertujuan memperkenalkan kemahiran asas penghasilan batik cop secara Do-It-Yourself (DIY) sebagai satu inisiatif memperkasa komuniti melalui pembangunan kemahiran kreatif dan keusahawanan. Latihan ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik menghasilkan produk batik yang berkualiti serta berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Jasnizam bin Muhamad Husni yang hadir mewakili YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti KEMAS Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komuniti KEMAS Parlimen Padang Terap.

Turut hadir memeriahkan program ialah PM Dr. Ruzinoor Che Mat, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif & Seni Persembahan (SCIMPA), PM Dr. Adzrool Idzwan Ismail; pereka cipta dan pengasas Cyntok Bhatik, Dr. Asmidah Alwi, Pengarah Institut Pengurusan Industri Kreatif dan Budaya Lestari (ICIMSC), Prof. Dr. Razamin Ramli dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Encik Jafri Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lebai Saman, serta Puan Rosnah Musa, Pengurus Liyana Batique Collections.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada keseluruhan proses penghasilan batik terap, bermula daripada penyediaan fabrik, penggunaan blok batik, teknik pencampuran dan sapuan warna, proses mengecap corak, sehinggalah kepada teknik kemasan akhir.

Pendekatan pembelajaran secara amali membolehkan setiap peserta menghasilkan karya batik mereka sendiri dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman.

Menurut pihak penganjur, program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan pemindahan ilmu dan teknologi dalam bidang industri kreatif kepada komuniti luar bandar.

Melalui kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan pengusaha industri, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal dalam penghasilan batik, malah turut didedahkan kepada potensi batik sebagai produk kreatif yang mampu menjana nilai ekonomi.

PM Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, pendekatan DIY batik terap yang diperkenalkan menerusi jenama Cyntok Bhatik direka agar mudah dipelajari oleh masyarakat tanpa memerlukan peralatan yang kompleks.

Kaedah ini membolehkan lebih ramai individu menghasilkan produk batik secara kreatif dan berpotensi menjadikannya sebagai perusahaan mikro atau sumber pendapatan tambahan.

Sementara itu, PM Dr. Ruzinoor Che Mat menegaskan bahawa penglibatan ICIMSC dan SCIMPA, UUM dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu, penyelidikan gunaan dan inovasi berasaskan warisan tempatan.

Beliau berharap kerjasama yang terjalin bersama KEMAS dan rakan industri akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan kreatif di kawasan luar bandar.

Program ini diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada kesemua 20 peserta sebagai penghargaan atas komitmen mereka sepanjang mengikuti latihan.

Diharapkan inisiatif seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan industri batik tempatan, sekali gus menyokong usaha memperkasakan ekonomi komuniti melalui penghasilan produk kreatif yang berasaskan warisan dan budaya tempatan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button