Empat Mahasiswa UUM dipilih sebagai sukarelawan Malaysian Youth SDG Summit 2026
Berita dan gambar oleh: Shurendar Seva Kumar
KUALA LUMPUR, 30 Julai 2026: Empat mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih sebagai sukarelawan Malaysian Youth SDG Summit 2026 selepas berjaya melepasi proses pemilihan yang menerima lebih 200 permohonan dari seluruh negara, dengan hanya 30 peserta dipilih bagi menjayakan sidang kemuncak tersebut.
Mahasiswa yang terpilih ialah Shurendar Seva Kumar dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), serta Jafri Kamalkhairi Jaapar, Ahmad Danish Sufi Saipudin dan Nor Aliah Maisarah Mohd Zaidi dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).

Bertemakan “The Future of the Social Economy: Shaping Malaysia’s Third Sector”, Malaysian Youth SDG Summit 2026 berlangsung pada 30 Julai 2026 di Pusat Kecemerlangan Kenegaraan Perdana, Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
Program anjuran MySDG Academy itu menghimpunkan kira-kira 250 belia dan pemimpin pelbagai sektor sebagai platform dialog dasar, kolaborasi rentas sektor dan inovasi ke arah memperkukuh ekonomi sosial Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Sebelum sidang kemuncak berlangsung, kesemua sukarelawan mengikuti program persediaan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Julai yang merangkumi sesi orientasi, dialog bersama pemimpin APPGM-SDG, latihan berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), bengkel pembangunan belia, taklimat operasi serta simulasi penuh bagi memastikan kelancaran perjalanan program.

Sepanjang sidang kemuncak, para sukarelawan memainkan pelbagai peranan penting termasuk pengurusan pendaftaran peserta, penyelarasan sesi, pengurusan protokol, bantuan kepada penceramah, dokumentasi media, logistik, pengurusan dewan serta penyelarasan pameran.
Jafri Kamalkhairi Jaapar turut diberi kepercayaan mengetuai pasukan pendaftaran, sekali gus menyelaras proses penerimaan dan pengurusan kehadiran peserta sepanjang program berlangsung.
Sidang kemuncak itu menampilkan ucapan alu-aluan oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria, ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi anak Bimol, serta ucapan penutup oleh Yang Berhormat Senator Dr. Haji Jufitri Joha.

Program ini memberi ruang kepada belia menyumbang cadangan dasar berkaitan pembangunan ekonomi sosial negara melalui sesi dialog, perkongsian idea dan kolaborasi bersama wakil kerajaan, akademia, industri, media dan masyarakat sivil.
Selain berperanan sebagai sukarelawan, mereka turut dipilih sebagai Ejen SDG dan diberikan halaman profil khas dalam laman sesawang MySDG Academy.

Platform tersebut membolehkan mereka mempamerkan kemahiran, pengalaman, pencapaian serta penglibatan dalam aktiviti pembangunan mampan, sekali gus membantu membina portfolio profesional yang lebih kukuh dan meningkatkan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam kalangan masyarakat serta organisasi berkaitan.
Pemilihan empat mahasiswa UUM sebagai sebahagian daripada kumpulan sukarelawan kebangsaan bukan sahaja mencerminkan kredibiliti dan kepimpinan mahasiswa universiti itu, malah membuktikan kesediaan mereka menyumbang kepada agenda pembangunan mampan negara melalui penglibatan aktif dalam program berimpak tinggi di peringkat nasional.



