Campus

Roadshow Penyelidikan dan Inovasi UUM perkasa ekosistem penyelidikan di SOE

Berita dan gambar oleh: Dr. Norasyikin Mohaiyuddin

SINTOK, 31 Julai 2026 – School of Education (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan delegasi Roadshow Penyelidikan dan Inovasi yang bertujuan memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi dan kolaborasi strategik di peringkat pusat pengajian.

Program ini merupakan inisiatif Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi mengadakan sesi libat urus bersama warga akademik dalam usaha memperkasakan budaya penyelidikan dan inovasi di Universiti Utara Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang dijadualkan hadir tidak dapat menghadiri program tersebut dan telah diwakili oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Nor Idayu Mahat, Dekan Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI).

Turut mengiringi delegasi ialah Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, Pengarah Research Management Centre (RMC); Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, Pengarah Innovation and Commercialisation Centre (ICC); Yang Berusaha En. Zul Rusydi Hussin, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI); serta Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Normalisa Md Isa, Timbalan Pengarah Jaringan Industri, Centre for University-Industry Collaboration (CUIC). Turut hadir dalam sesi tersebut ialah wakil daripada UUM Information Technology (UUMIT) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur, Universiti Utara Malaysia, yang bersama-sama membincangkan keperluan infrastruktur dan kemudahan fizikal bagi menyokong kecemerlangan penyelidikan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif di School of Education.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memperkukuhkan Research Group (RG) sebagai pemacu kecemerlangan penyelidikan, memperhebat agenda inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan, memperluas jaringan strategik bersama industri dan institusi luar, serta memperkasa ekosistem penyelidikan Universiti Utara Malaysia secara menyeluruh.

Selain itu, sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek penambahbaikan fasiliti di School of Education, termasuk cadangan kerja-kerja naik taraf dan renovasi bangunan, penyediaan ruang yang lebih kondusif untuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta penambahbaikan liputan rangkaian internet tanpa wayar (WiFi) oleh UUM Information Technology (UUMIT) bagi memastikan kemudahan digital yang lebih cekap dan menyokong pelaksanaan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta inovasi.

Sesi dialog berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif, memberi peluang kepada warga SOE mengemukakan pandangan, cadangan dan isu-isu semasa berkaitan penyelidikan, inovasi serta kemudahan yang diperlukan.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen pihak pengurusan universiti untuk terus mendengar keperluan pusat pengajian dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan yang mampan.

Program roadshow ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan prestasi penyelidikan, memperkukuh budaya inovasi, memperluas jaringan kerjasama strategik, dan seterusnya menyokong aspirasi Universiti Utara Malaysia sebagai sebuah universiti yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button