Education

“Lead and Shine”: UUM perkasa keyakinan murid SK Bandar Baru Sintok menerusi inisiatif Changlun Youth Leadership Club

Berita dan gambar disediakan oleh Dr. Muhammad Fakhru Rizuan Che Omar

SINTOK, 28 Julai 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya dalam pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan program “Lead and Shine” di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS), Changlun, Kedah.

Program yang merupakan fasa ketiga di bawah inisiatif Changlun Youth Leadership Club (CYLC) ini bertujuan membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah.

Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid, bersama Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid, Dr. Aida Filzah Ramli, Dr. Syazwani Mahsal Khan, yang juga merupakan pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), serta Dr. Muhammad Fakhru Rizuan Che Omar, selaku pembantu penyelidik dengan bantuan sembilan orang fasilitator.

Menurut Dr. Sabrina, CYLC merupakan projek penyelidikan jangka panjang yang bermula pada tahun 2025 bagi membangunkan potensi kepimpinan kanak-kanak luar bandar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan media kreatif.

“Setiap kanak-kanak berhak diberikan peluang untuk membina keyakinan, menemukan suara mereka dan melihat diri mereka sebagai seorang pemimpin. Kami berharap CYLC dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan,” katanya.

Program turut disempurnakan oleh Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, yang menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang berani, yakin dan bersedia menjadi pemimpin masa hadapan.

Seramai 38 orang murid juga telah mengikuti dua modul interaktif sebelumnya, iaitu Speak & Sketch Squad dan Shine on Stage, yang memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi, kreativiti dan pengucapan awam.

Murid turut didedahkan kepada penggunaan peralatan media seperti kamera, mikrofon dan stabilizer bagi memperkenalkan asas penghasilan kandungan digital.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Dr. Zuliana Azwa binti Zulkifli, wakil Pusat Kolaborasi Universiti-Industri (CUIC) selaku penyumbang dana Geran SIGS, diikuti ucapan penghargaan daripada Guru Besar SK Bandar Baru Sintok, Encik Mohd Nizam Saidin.

Program ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui penyelidikan berimpak tinggi serta menyokong agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dalam melahirkan generasi muda yang lebih yakin, kreatif dan berjiwa kepimpinan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button