Mobiliti SOC UUM–UNP semarak pertukaran budaya Malaysia–Indonesia
Berita dan gambar disediakan oleh: Gs. Dr Nur Suhaili Mansor
PADANG, INDONESIA, 31 Julai 2026 – Program Mobiliti Tidak Berkredit Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Universitas Negeri Padang (UNP) menjadi platform penting dalam memperkenalkan serta mempromosikan keunikan budaya Malaysia dan Indonesia.
Program yang berlangsung dari 27 hingga 31 Julai 2026 itu melibatkan 16 orang pelajar SOC UUM dan diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli selaku Ketua Delegasi. Dr. Sunariya Utama bertindak sebagai Pegawai Pengiring bersama beberapa orang pensyarah SOC UUM yang lain.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Fakultas Teknik UNP yang diterajui oleh Dr. Muhammad Anwar, S.Pd., M.T., selaku Dekan Fakultas Teknik UNP.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti kebudayaan yang memberikan peluang kepada mereka mengenali sejarah, adat resam, warisan dan kehidupan masyarakat di Sumatera Barat.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Jam Gadang di Bukittinggi dan Istana Basa Pagaruyuang. Lawatan tersebut memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang keunikan seni bina, sejarah serta warisan masyarakat Minangkabau.

Menerusi persembahan dan interaksi yang dijalankan, para peserta berpeluang berkongsi elemen budaya seperti pakaian tradisional, seni persembahan, bahasa dan adat resam. Aktiviti tersebut turut mengeratkan hubungan persahabatan serta meningkatkan persefahaman antara pelajar kedua-dua negara.
Selain itu, program turut melibatkan aktiviti khidmat komuniti yang memberi peluang kepada pelajar SOC UUM untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat. Aktiviti tersebut menyemai nilai keprihatinan, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.

Program pertukaran budaya itu bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada komuniti UNP, malah memberikan pengalaman kepada pelajar SOC UUM untuk memahami budaya Indonesia, khususnya masyarakat Minangkabau, dengan lebih dekat.
Penganjuran aktiviti seumpama ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara SOC UUM dan UNP, di samping melahirkan pelajar yang berfikiran global, menghargai kepelbagaian budaya serta mampu berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa.



