IASDO SOC UUM jalin kerjasama penyelidikan dan penerbitan dengan UNAND
Berita dan gambar disediakan oleh: Gs. Dr Nur Suhaili Mansor
PADANG, 29 Julai 2026 – Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kunjungan silaturahim ke Universitas Andalas (UNAND) bagi meneroka peluang jaringan dan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, penerbitan serta perkongsian kepakaran.
Delegasi IASDO SOC UUM diketuai oleh Dr. Hapini Awang, Pengarah IASDO, yang mengadakan perbincangan bersama wakil UNAND mengenai potensi kolaborasi akademik antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Antara wakil UNAND yang terlibat dalam pertemuan tersebut ialah Husnil Kamil, S.T., M.T., Timbalan Dekan Kewangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Am, Fakultas Teknologi Informasi UNAND; Dr. Eng. Ardhian Agung Yulianto, M.T., pensyarah Jurusan Teknik Industri, Fakultas Teknik UNAND; serta Prof. Dr. Eng. Ir. Fauzan, S.T., M.Sc.(Eng.), Pengarah Direktorat Teknologi Informasi UNAND.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Dr. Elgamar Syam dari Universitas Islam Kuantan Singingi (UNIKS), serta wakil Universitas Lancang Kuning (UNILAK), iaitu Dr. Yogi Yunefri, M.Kom., MTA., MCE, Dekan Fakultas Ilmu Komputer, dan Dr. Rizki Novendra, S.Kom., M.M.S.I., MTA.
Perbincangan memberikan tumpuan kepada peluang pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan artikel ilmiah secara kolaboratif serta perkongsian pengetahuan dan kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, pengkomputeran dan transformasi digital.

Selain itu, wakil institusi yang terlibat turut bertukar pandangan mengenai potensi penganjuran seminar, bengkel, sesi perkongsian ilmu, program mobiliti serta pelbagai aktiviti akademik yang dapat memberikan manfaat kepada pensyarah dan pelajar.
Pertemuan itu juga menjadi platform untuk mengenal pasti bidang kepakaran yang boleh dipadankan bagi membangunkan projek penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti serta berimpak.
Jaringan yang dibentuk turut membuka ruang kepada perkongsian sumber, idea dan pengalaman antara ahli akademik daripada institusi yang terlibat.
Kunjungan silaturahim tersebut mencerminkan komitmen IASDO SOC UUM dalam memperluas jaringan antarabangsa, khususnya dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia, di samping memperkukuh kerjasama akademik serantau.
Kerjasama yang dirintis melalui pertemuan tersebut diharapkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek penyelidikan, penerbitan bersama dan program akademik yang lebih tersusun, sekali gus mempererat hubungan antara UUM, UNAND, UNIKS dan UNILAK pada masa hadapan.



