IASDO SOC UUM kongsi strategi penerbitan scopus dan aplikasi AI di Politeknik Pertanian Negeri Payakumbuh
Berita dan gambar disediakan oleh: Gs. Dr Nur Suhaili Mansor
PAYAKUMBUH, INDONESIA, 30 Julai 2026 – Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perkongsian ilmu berkaitan strategi penulisan artikel ilmiah untuk penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus serta penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan di Politeknik Pertanian Negeri Payakumbuh, Indonesia.
Delegasi IASDO SOC UUM diketuai oleh Dr. Hapini Awang, Pengarah IASDO, yang turut bertindak sebagai narasumber dalam program berkenaan.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Sentot Wahono, S.P., M.Si., Wakil Direktur III, Politeknik Pertanian Negeri Payakumbuh. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran para delegasi dan menghargai perkongsian kepakaran yang dapat membantu memperkukuh budaya penyelidikan serta penerbitan ilmiah dalam kalangan warga institusi berkenaan.
Dalam sesi perkongsiannya, Dr. Hapini memberikan pendedahan mengenai strategi menghasilkan artikel ilmiah yang berkualiti, bermula daripada pemilihan tajuk penyelidikan, pengenalpastian jurang kajian, pembentukan objektif, penyusunan struktur manuskrip, penulisan sorotan literatur, penyediaan metodologi serta pelaporan dan perbincangan dapatan.
Beliau turut menerangkan kepentingan memilih jurnal yang bersesuaian dengan bidang dan skop penyelidikan, memahami garis panduan penulis serta memastikan manuskrip memenuhi standard akademik dan keperluan jurnal berindeks Scopus.
Selain strategi penulisan dan penerbitan, peserta turut diberikan pendedahan mengenai penggunaan aplikasi berasaskan AI dalam menyokong proses penyelidikan. Aplikasi tersebut boleh membantu dalam pencarian dan analisis literatur, pengurusan rujukan, penjanaan idea, penyemakan bahasa serta penambahbaikan struktur penulisan akademik.

Program tersebut turut disertai oleh Dr. Elgamar Syam dari Universitas Islam Kuantan Singingi (UNIKS), serta wakil Universitas Lancang Kuning (UNILAK), iaitu Dr. Yogi Yunefri, M.Kom., MTA., MCE, Dekan Fakultas Ilmu Komputer, dan Dr. Rizki Novendra, S.Kom., M.M.S.I., MTA.
Kehadiran wakil daripada beberapa institusi pengajian tinggi itu turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pembentukan jaringan profesional serta perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama dan pembangunan kapasiti akademik.
Sesi interaktif yang dijalankan turut membolehkan peserta mengemukakan soalan berkaitan proses penerbitan, pemilihan jurnal, penggunaan AI dalam penulisan akademik serta cabaran mendapatkan penerimaan manuskrip dalam jurnal berindeks Scopus.
Program tersebut mencerminkan komitmen IASDO SOC UUM dalam memperluas jaringan antarabangsa serta berkongsi kepakaran dengan institusi pendidikan tinggi serantau, khususnya dalam memperkukuh kompetensi penyelidikan dan penerbitan ilmiah.



