Sports

Kontinjen UUM sasar empat emas di SUKUM Ke-46

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 4 Ogos 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan empat pingat emas pada Kejohanan Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 yang akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, dari 6 hingga 15 Ogos ini.

Sasaran tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UUM di Dewan Pusat Budaya dan Seni (PBS), hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bendera kontinjen kepada Ketua Kontinjen UUM, Encik Mohd Zulkifli Mohd Noor, yang menjalankan fungsi Pendaftar UUM, sebagai simbolik pelepasan atlet yang akan membawa cabaran universiti ke temasya sukan dwitahunan itu.

Dalam ucapannya, Prof. Ahmad Martadha berkata penyertaan dalam SUKUM bukan sekadar memburu pingat, malah menjadi platform untuk membentuk warga universiti yang sihat, berdaya saing, berdisiplin dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya juga berharap lebih ramai warga universiti, khususnya generasi baharu, tampil menyertai aktiviti sukan agar kesinambungan kecemerlangan atlet UUM dapat diteruskan. Kita memerlukan gabungan antara pengalaman dan tenaga muda untuk memastikan kecemerlangan sukan universiti terus diperkasakan,” katanya.

“Ramai atlet berjaya membuktikan bahawa usia hanyalah satu angka. Apa yang menentukan kejayaan ialah kesungguhan, komitmen dan keyakinan untuk terus bersaing,” katanya.

Mengambil inspirasi daripada semangat juang Mohd Azizulhasni Awang, beliau berkata atlet UUM perlu memiliki kekuatan mental yang tinggi kerana kejayaan tidak hanya bergantung pada kelebihan fizikal, malah turut dipengaruhi oleh aspek psikologi, disiplin dan keyakinan diri.

“Jangan sesekali mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang pertandingan. Jangan mengatakan kita tidak mampu sebelum kita mencuba. Datanglah dengan keyakinan dan semangat juang yang tinggi kerana kemenangan bermula daripada kekuatan mental,” katanya.

Bagi edisi kali ini, UUM sekali lagi menyasarkan empat pingat emas menerusi acara futsal, badminton, tenis dan golf.

Kontinjen UUM akan menyertai 12 daripada 19 acara yang dipertandingkan, iaitu badminton, tenis, sepak takraw, catur, golf, tenpin boling, bola jaring, bola sepak, bola tampar, petanque, memanah dan futsal.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron, berharap atlet-atlet yang dipilih dapat membawa semangat Biru Warna UUM, berjuang dengan penuh disiplin dan menterjemahkan usaha mereka dalam bentuk kejayaan demi mengharumkan nama universiti dengan meraih pingat dalam 12 acara yang disertai pada SUKUM 2026.

Bagi atlet badminton UUM, Mohd Puad Mhd Nor, tanggungjawab membawa nama UUM merupakan satu amanah yang besar, namun beliau dan rakan sepasukan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar atlet yang diketuai oleh Mohamad Anas Jaafar sebagai simbol komitmen seluruh kontinjen untuk bertanding dengan penuh disiplin, semangat kesukanan dan integriti.

Kontinjen UUM ke SUKUM Ke-46 dibarisi 140 orang, terdiri daripada 127 atlet (97 lelaki dan 30 wanita) serta 13 pegawai, yang akan membawa cabaran universiti dalam 12 acara sukan dengan misi merealisasikan sasaran empat pingat emas pada kejohanan tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button