Campus

STML dan Zon Tekoma perkasa kesedaran e-waste dalam kalangan warga UUM

Berita dan gambar: Dr. Alminnourliza binti Noordin

SINTOK, 3 Ogos 2026 – Lebih 100 warga Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program Kampus Lestari: Amalan Hijau dan Cabaran Sisa Elektronik Moden yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) bersama Zon Tekoma, yang berlangsung secara dalam talian pada hari ini.

Program yang berlangsung dari pukul 10.00 hingga 11.00 pagi itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga UUM terhadap kepentingan amalan hijau serta pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang semakin menjadi cabaran dalam era penggunaan teknologi yang pesat.

Program berkenaan menampilkan En. Mohamad Najmi bin Mohamad Rasidi, Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, sebagai penceramah jemputan.

Dalam perkongsian beliau, peningkatan penggunaan peranti elektronik dalam kehidupan seharian telah menyumbang kepada pertambahan sisa elektronik yang berpotensi mengandungi bahan berbahaya sekiranya tidak diuruskan dengan kaedah yang betul.

Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan dan pelupusan sisa elektronik secara selamat serta peranan setiap individu dalam memastikan e-waste tidak dibuang bersama sisa domestik. Kesedaran dan tindakan di peringkat individu, katanya, amat penting bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Para peserta turut didedahkan kepada beberapa langkah praktikal untuk mengurangkan penghasilan e-waste, termasuk memanjangkan jangka hayat peralatan elektronik, menggunakan peralatan secara berhemah, mengasingkan sisa elektronik daripada sisa domestik serta menghantar e-waste ke pusat pengumpulan yang diiktiraf.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen STML dan Zon Tekoma dalam memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga kampus, di samping menyokong usaha UUM ke arah mewujudkan persekitaran kampus yang lebih bersih, hijau dan lestari.

Inisiatif tersebut juga selaras dengan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya berkaitan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab serta pemeliharaan alam sekitar.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang mendapat penyertaan aktif daripada para peserta. Interaksi tersebut menunjukkan minat warga UUM untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan e-waste serta mengamalkan gaya hidup yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Melalui penganjuran program seumpama ini, STML dan Zon Tekoma terus memainkan peranan dalam memupuk kesedaran serta membudayakan amalan hijau dalam kalangan warga UUM sebagai sebahagian daripada usaha bersama ke arah merealisasikan aspirasi kampus lestari.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button