Campus

IPDM dan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia perkukuh jaringan strategik

Berita dan gambar oleh: Mohammad Taufiq Othman

SINTOK, 28 Julai 2026: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) baru-baru ini telah menerima kunjungan rasmi daripada pihak Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia iaitu sebuah badan pemikir (think tank) bebas dari Jerman yang beroperasi sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan.

Sesi perbincangan strategik ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan lagi jaringan kerjasama sedia ada serta merancang pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan bersama pada masa hadapan.

Pertemuan penting ini turut dihadiri oleh dua orang Felo IPDM. Kehadiran kepimpinan utama dan para felo penyelidik ini mencerminkan komitmen tuntas IPDM dalam menyokong serta memperkasakan agenda kolaborasi antarabangsa bersama pihak KAS Malaysia.

Dalam sesi pertemuan tersebut, pihak KAS Malaysia yang diketuai oleh Natalie Russmann, Country Director merakamkan penghargaan atas kejayaan penganjuran program AccelerateHER bagi zon Utara yang telah dilaksanakan menerusi kerjasama erat bersama IPDM sebelum ini. Berikutan kejayaan berasaskan model kerjasama tersebut, KAS Malaysia memaklumkan bahawa mereka kini bakal memperluaskan penganjuran program AccelerateHER ke kawasan Lembah Klang dan juga negeri Sabah bagi memperkasakan lebih ramai peserta di rantau berkenaan.

Selain itu, sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat mengenai program biasiswa (scholarship program) yang ditawarkan oleh KAS Malaysia. Inisiatif biasiswa ini dijangka bakal membuka peluang keemasan kepada para warga akademik, penyelidik, dan mahasiswa yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian serta meningkatkan kemahiran kepimpinan di peringkat antarabangsa.

Bagi memastikan kelangsungan jalinan kerjasama yang mampan, IPDM dan KAS Malaysia telah bersepakat untuk merancang beberapa agenda utama bagi penganjuran tahun depan.

Antara inisiatif yang dirangka termasuklah penganjuran forum akademik berasaskan isu semasa dan kepimpinan, di samping pelaksanaan program khidmat masyarakat secara bersama demi memberikan sumbangan langsung kepada pembangunan sosio ekonomi komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, pihak pengurusan IPDM menzahirkan rasa gembira atas komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh KAS Malaysia.

Diharapkan perancangan strategik ini dapat direalisasikan dengan jayanya, sekali gus memperkukuh kedudukan IPDM yang berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button