SE-BUDI Hasanah Language and Resilience Bootcamp bantu pelajar kuasai Bahasa Inggeris
Berita dan gambar oleh: Khairul Anuar Abdul Malik
PULAU TUBA, 9 Ogos 2026 – SE-Budi Hasanah Language and Resilience Bootcamp 2026 yang disertai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Pulau Tuba, Kedah telah berjaya membantu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan peserta.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, program Pembelajaran Bahasa Berasaskan Komuniti (CBLL) bermula sejak Mei 2025 memberi fokus pembangunan holistik pelajar memenuhi keperluan JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual.
“Melalui inisiatif ini, Bahasa Inggeris tidak hanya dilihat sebagai mata pelajaran peperiksaan semata-mata tetapi menjadi alat praktikal yang membolehkan pelajar menyampaikan idea, berkomunikasi, memahami keperluan setempat, membangunkan projek, berinteraksi dengan usahawan dan membentangkan penyelesaian dengan berkesan.

Projek ini mendapat sokongan tajaan geran daripada Yayasan Hasanah dan pihak berkepentingan yang komited memajukan komuniti,” jelas Naib Canselor dalam ucapannya.
Kejayaan program ini hasil kerjasama pelbagai pihak terutama penaja serta BESTUBA, pihak sekolah, agensi pendidikan, masyarakat, rakan industri dan sokongan padu komuniti Pulau Tuba.
“Pelaksanaan SE-Budi Hasanah Language and Resilience Bootcamp 2026 adalah satu manifestasi slogan Ilmu, Budi, Bakti yang diterjemah melalui tindakan, kepimpinan dan khidmat dalam usaha memastikan 250 peserta mendapat manfaat daripada penguasaan Bahasa Inggeris yang relevan dengan kedudukan Pulau Tuba sebagai salah satu destinasi pelancongan,” menurut Prof. Dr. Ahmad Martadha lagi.

SE-Budi Hasanah dibangunkan dengan keyakinan jelas iaitu pembangunan bakat tidak terbatas oleh geografi.
Golongan sasaran didedahkan kepada penguasaan bahasa, daya tahan, pementoran, kepimpinan, penglibatan komuniti dan keusahawanan sosial mampu menguasai kemahiran yang ditawarkan menerusi program ini.
Naib Canselor UUM menutup program dengan ucapan tahniah kepada pasukan SE-Budi Hasanah, Yayasan Hasanah, para guru, mentor, rakan strategik dan seluruh warga Pulau Tuba atas sumbangan menjayakan program yang membawa impak besar kepada pelajar terlibat.

Sementara itu, pelajar SMK Langkawi terpilih menyertai program tersebut melahirkan penghargaan kepada penganjur kerana memilih Pulau Tuba bagi menjayakan SE-Budi Hasanah Language and Resilience Bootcamp.
Bagi salah seorang peserta, Danial Haziq Md Hapizi yang menuntut di tingkatan 3 sekolah terbabit berpuas hati dengan pengisian program berasaskan JERI yang mendedahkan beliau kepada teknik penguasaan Bahasa Inggeris.
Menurut pelajar tingkatan 5, Muhammad Iqbal Danish Khairulnizam pula, program berkenaan memberi keyakinan kepadanya untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian.

“Pulau Tuba merupakan salah satu destinasi bagi pelancong asing dan dengan menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik dapat membantu saya memperkenalkan Pulau Tuba dengan lebih berkesan menggunakan media sosial,” kata beliau.
Seorang lagi peserta, Nurul Nazifa Mohd Hafiz, 16 tahun, berkata komitmen ditunjukkan oleh tenaga pengajar dan mentor sangat tinggi, sekali gus mendorong peserta untuk kekal bertenaga sepanjang mengikuti program tersebut.
Nurul Nazifa juga berharap program itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan lagi potensi pelajar-pelajar di Pulau Tuba kerana CBLL merupakan satu pendekatan strategik menghubungkan pembelajaran bahasa dengan pengalaman sebenar pelajar dalam komuniti.

Ini bermakna, kerangka CBLL tidak hanya tertumpu kepada penguasaan Bahasa Inggeris tetapi turut memberi penekanan kepada kefahaman pelajar terhadap konteks kehidupan masyarakat.
Modul pembelajaran merangkumi elemen alam sekitar, budaya, keusahawanan sosial dan pembinaan jati diri yang dapat membuka ruang kepada peserta menggunakan Bahasa Inggeris secara autentik dalam situasi sebenar dan bukan hanya dalam kelas.


