Campus

Se-Budi Hasanah catat 3 pencapaian membanggakan sejak Mei 2025

Berita dan gambar oleh: Khairul Anuar Abdul Malik

PULAU TUBA, 9 Ogos 2026 – Program SE-Budi Hasanah berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan sejak dilaksana Mei tahun lalu di Pulau Tuba, Kedah dari segi pengukuhan potensi pelajar dan kelestarian pembangunan komuniti.

Menurut Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, 3 impak yang dapat dilihat menerusi program adalah wujudnya kerjasama kukuh universiti, sekolah dan komuniti Pulau Tuba yang menjadi asas penting kepada kelestarian program.

“Impak lain adalah manfaat secara langsung kepada lebih 200 pelajar SMK Langkawi yang terlibat dalam program penguasaan Bahasa Inggeris, kepimpinan, daya tahan, penglibatan komuniti dan keusahawanan sosial. Seterusnya, program ini berjaya memperkenalkan pendekatan Pembelajaran Bahasa Berasaskan Komuniti (CBLL) yang menghubungkan pembelajaran bahasa dengan pengalaman sebenar dalam komuniti,” jelas Siti Kamariah.

Selain itu, pembelajaran turut diperluas ke luar bilik darjah melalui pelbagai aktiviti bersama komuniti seperti Mini Community Day, SE-Budi Canvas: A Vision for Pulau Tuba 2050 dan SE-Budi Raya Hasanah bersama 4,500 penduduk.

Pelaksanaan aktiviti ini memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat, memahami keperluan setempat, serta menyumbang idea bagi pembangunan masa depan Pulau Tuba.

“Kesemua pencapaian ini menunjukkan bahawa SE-Budi Hasanah merupakan satu inisiatif yang membina keyakinan, memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti serta melahirkan generasi muda yang bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat mereka,” jelas beliau lagi.

Perjalanan projek SE-Budi Hasanah bermula pada Mei 2025 menerusi Geran Khas Hasanah berjumlah RM361,000.00 yang disalurkan melalui UUM Leads Sdn. Bhd.

Pemberian geran ini bertujuan memperkenal dan memperkukuhkan Kerangka Pembelajaran Bahasa Berasaskan Komuniti (Community-Based Language Learning) atau CBLL di SMK Langkawi, Pulau Tuba.

Projek ini dibangunkan berasaskan bahasa kerana terdapat golongan muda di kawasan luar bandar dan kepulauan yang memiliki bakat, kreativiti, kebijaksanaan serta cita-cita yang tinggi.

Namun, mereka tidak mempunyai akses kepada pengayaan pendidikan, pendedahan industri, peluang pembelajaran bahasa, dan rangkaian profesional.

Justeru, SE-Budi Hasanah berusaha membawa peluang pembelajaran yang bermakna secara langsung kepada para pelajar, sambil memastikan pengalaman tersebut berpaksikan identiti, kekuatan, keperluan dan aspirasi masyarakat Pulau Tuba.

Kerangka SE-Budi Hasanah menggabungkan beberapa komponen pembangunan pelajar yang saling melengkapi iaitu pembangunan Bahasa Inggeris, pembangunan daya tahan dan sahsiah, kepimpinan dan kerja berpasukan, penglibatan komuniti dan keusahawanan sosial dan pendedahan vokasional.

Seterusnya, elemen projek komuniti dan pembentangan idea turut ditekankan dalam program ini bagi membolehkan peserta mengenal pasti keperluan komuniti, membangunkan idea, merancang projek dan mencari penyelesaian masalah.

Kesemua komponen ini mencerminkan prinsip utama SE-Budi Hasanah, iaitu kecemerlangan akademik perlu diperkukuh seiring dengan pembentukan keyakinan diri, sahsiah, kreativiti, kebolehpasaran, tanggungjawab sosial dan kepimpinan dalam komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button