Campus

UUMCREATE Rangkul Anugerah Inovasi Harapan di Konvensyen Horizon Baharu KIK Universiti Awam 2026

Berita dan gambar oleh: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA)

KUALA LUMPUR, 4 – 6 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila kumpulan UUMCREATE merangkul Anugerah Inovasi Harapan dalam kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) pada Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke-18 Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kejayaan tersebut membolehkan UUMCREATE menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap inovasi yang diketengahkan menerusi projek “Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Tanaman Herba UUM melalui Katalog Digital Hijau (eFloraCyntok)”.

UUMCREATE yang terdiri daripada gabungan ahli dari Pusat Pengajian Teknologi dan Logistik (STML), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) serta Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) mengetengahkan inovasi dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman herba universiti melalui pendekatan digital yang menyokong pengurusan maklumat secara lebih sistematik dan tersusun.

Selain UUMCREATE, UUM turut menghantar satu lagi kumpulan inovasi, iaitu PARADIGMA, yang turut bertanding dalam kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) menerusi projek “UUM Spotfix”, iaitu aplikasi digital untuk pelaporan dan pengurusan aduan kebersihan secara pantas dan sistematik di UUM.

Kumpulan PARADIGMA yang terdiri daripada ahli dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), yang bekerjasama menghasilkan penyelesaian digital bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan aduan kebersihan di universiti.

Penyertaan kedua-dua kumpulan ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh budaya kreativiti, inovasi dan penambahbaikan berterusan, khususnya dalam menghasilkan penyelesaian yang dapat meningkatkan kecekapan proses kerja serta kualiti penyampaian perkhidmatan universiti.

Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat UA Kali Ke-18 Tahun 2026 menghimpunkan 434 peserta, 53 kumpulan inovasi daripada 19 Universiti Awam seluruh negara.

Pertandingan berlangsung dalam empat kategori utama, iaitu Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan), Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan), Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Inovasi Sosial (Penambahbaikan).

Konvensyen yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Ogos 2026 itu melabuhkan tirainya menerusi Majlis Anugerah dan Penutupan pada 6 Ogos 2026 di Kampus UPNM, Kem Perdana Sungai Besi.

Kejayaan UUMCREATE di pentas KIK peringkat UA ini membuktikan bahawa warga UUM berupaya menterjemahkan idea inovatif kepada penyelesaian yang mempunyai nilai tambah terhadap pengurusan dan penyampaian perkhidmatan universiti.

Pencapaian ini turut memperlihatkan kesungguhan warga UUM dalam mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kecemerlangan organisasi.

Penyertaan UUMCREATE dan PARADIGMA di Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat UA 2026 diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga UUM serta menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak idea kreatif yang dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan sebenar dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan universiti.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada kumpulan UUMCREATE atas kejayaan merangkul Anugerah Inovasi Harapan serta kepada kumpulan PARADIGMA atas komitmen dan penyertaan dalam mengharumkan nama UUM di pentas KIK Peringkat Universiti Awam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button