Mahasiswa SOG UUM menyulam kasih bersama komuniti orang asli
Gambar oleh: Muhammad Naufel Salman Hakimi Mohamed Salih dan Alia Maisarah Mohd Ridzun
BALING – Seramai 27 mahasiswa Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM SOC), Pusat Pengajian Kerajaan telah menjayakan Program Jalinan Kasih Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Baling sebagai usaha memperkukuh hubungan antara Universiti dengan komuniti setempat melalui aktiviti khidmat masyarakat.
Program ini bertujuan menyemai nilai kesukarelawanan, keprihatinan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat Orang Asli.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk gotong-royong, sukaneka dan penyampaian sumbangan pakaian terpakai kepada penduduk kampung.

Program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam suasana sebenar melalui penglibatan secara langsung dengan masyarakat. Pengalaman tersebut membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta kepekaan terhadap keperluan komuniti.
Pengarah program, Muhammad Syakir Mat Zam berkata, program ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat Orang Asli serta menjadi platform kepada mahasiswa untuk menghayati nilai kesukarelawanan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
“Jalinan kasih antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan komuniti Kampung Orang Asli Lubuk Legong akan terus diperkukuhkan melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujar beliau.
Bagi Penasihat BDM SOC, Dr. Khofizhoah Mohd Karim berpendapat bahawa program khidmat masyarakat ini merupakan satu inisiatif yang selari dengan aspirasi Universiti dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari aspek akademik dan sahsiah.

“Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan golongan dewasa dan kanak-kanak masyarakat Orang Asli dalam konteks berbeza. Hasil pembelajaran melalui program ini memberi manfaat kepada pelajar untuk mengenali budaya berbeza daripada apa yang dilalui di Universiti,” ujar beliau.
Program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membina jati diri, nilai kemanusiaan serta komitmen terhadap pembangunan masyarakat. Program ini juga menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat melalui perkongsian ilmu, aktiviti kemasyarakatan serta semangat kerjasama yang berterusan. – Muhammad Syakir Mat Zam



