Campus

Sinergi JHEAIK–UUM bincang perkasa kompetensi kewangan islam Masjid Negeri Kedah.

Gambar oleh: Syahrina Abdullah

KUBANG PASU, KEDAH – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) memperkukuh jalinan kerjasama strategik melalui satu perbincangan bagi merangka pelaksanaan Program Train of Trainers (TOT) Kompetensi Pengurusan Kewangan Islam yang menyasarkan seramai 70 pegawai agama di seluruh negeri Kedah.

Delegasi UUM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie dan turut disertai Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, Ahmad Zamil Abd Khalid serta Syahrina Abdullah. Sementara itu, pihak JHEAIK diwakili oleh Tuan Syeikh Zainul Jamal bin Abd Ghani, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau Kedah, bersama dua orang pegawai JHEAIK.

Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan perancangan dan kaedah pelaksanaan program yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan kompetensi pegawai agama dalam aspek pengurusan kewangan patuh Syariah, berintegriti, telus dan berakauntabiliti, khususnya dalam pengurusan kewangan institusi masjid dan institusi agama. Seterusnya melalui ilmu ini, pegawai agama terpilih dapat membantu setiap masjid dan surau di setiap daerah di bawah seliaan mereka.

Program ini turut menjadi platform perkongsian kepakaran UUM dalam bidang kewangan Islam dan patuh Syariah, di samping memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan pengurusan kewangan yang lebih sistematik, berkesan dan selaras dengan prinsip  Syariah.

Objektif utama pertemuan adalah untuk menyelaras kandungan, pendekatan serta bentuk penyampaian program agar latihan yang bakal dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan pegawai agama di lapangan. Pendekatan yang dirancang turut menekankan aspek praktikal supaya peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam pengurusan kewangan institusi masjid dan organisasi agama masing-masing.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi, kerjasama strategik antara UUM dan JHEAIK ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh profesionalisme pengurusan institusi agama, khususnya dalam aspek kewangan.

“Pengurusan kewangan institusi masjid bukan sekadar berkaitan dengan rekod penerimaan dan perbelanjaan, tetapi turut melibatkan aspek amanah, ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan Syariah. Justeru, peningkatan kompetensi pegawai agama amat penting bagi memastikan pengurusan dana institusi agama dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Program Kompetensi Pengurusan Kewangan Islam ini dijangka menjadi salah satu inisiatif penting dalam memperkasa keupayaan pegawai agama di seluruh negeri Kedah, khususnya dalam menghadapi keperluan pengurusan kewangan institusi masjid yang semakin kompleks.

Kerjasama ini juga selaras dengan peranan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan kepakaran akademik, malah turut menyumbang ilmu dan kepakaran kepada masyarakat serta agensi kerajaan melalui program pemindahan ilmu, latihan profesional dan pembangunan kompetensi.

Melalui sinergi JHEAIK–UUM ini, kedua-dua pihak berharap program yang bakal dilaksanakan dapat melahirkan pegawai agama yang lebih kompeten, yakin dan profesional dalam mengurus kewangan institusi masjid berasaskan prinsip Syariah, integriti dan tadbir urus yang baik.

Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan usaha berterusan UUM dan JHEAIK dalam memperkukuh ekosistem pengurusan masjid di negeri Kedah agar lebih tersusun, telus dan berdaya saing demi manfaat ummah- Ahmad Zamil Abd. Khalid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button