General

Pengarah Pusat Islam UUM sertai kursus kepimpinan institusi: Kemampanan kewangan AKEPT

Gambar oleh: Mohd Yusnaidi Md Sabri

NEGERI SEMBILAN, 6 Ogos 2026 – Pengarah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Yusnaidi Md Sabri, telah menyertai Kursus Kepimpinan Institusi: Kemampanan Kewangan anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang berlangsung selama tiga hari 4 hingga 6 Ogos 2026.

Kursus ini memberi penekanan terhadap aspek kepimpinan, kemampanan kewangan serta strategi penjanaan sumber dalam mendepani cabaran pengurusan institusi pendidikan tinggi.

Antara pengisian yang diketengahkan termasuk Minda Keusahawanan, Forum Isu dan Cabaran Kemampanan Kewangan IPT, Pengurusan Risiko Kewangan, Penjenamaan dan Pengkomersialan, serta Pemerkasaan Wakaf, Endowmen, Zakat dan Sumbangan.

Antara perkara yang ditekankan sepanjang kursus ialah kepentingan “bekerja dengan jiwa” dalam mendepani perubahan teknologi, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI). Dalam konteks pengurusan universiti, kecemerlangan tidak hanya bergantung kepada keupayaan mengadaptasi teknologi, tetapi turut memerlukan komitmen, kreativiti dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Turut diketengahkan ialah prinsip “setiap masalah ialah peluang”, khususnya dalam mencari pendekatan baharu untuk menangani kekangan sumber dan kewangan.

Perkongsian yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff, menerusi slot Minda Keusahawanan memberi penekanan terhadap kepentingan memanfaatkan setiap sumber dan ruang yang dimiliki institusi secara optimum bagi menyokong kelangsungan serta pembangunan universiti.

Selain aspek pengurusan dan kewangan, kursus ini turut menekankan nilai serta penghayatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai warga institusi. Bekerja dilihat sebagai satu bentuk ibadah yang mampu memberikan ganjaran besar apabila dilaksanakan dengan niat yang baik, penuh amanah dan bersungguh-sungguh.

Pendekatan ini menjadi asas penting dalam membentuk budaya kerja yang bukan sahaja berorientasikan pencapaian, malah berteraskan nilai, integriti dan tanggungjawab.

Pengisian kursus turut merangkumi Capstone Project: Cadangan Penjanaan Kewangan Organisasi, yang memberi peluang kepada peserta mengemukakan cadangan serta strategi penjanaan kewangan berdasarkan potensi dan keperluan institusi masing-masing.

Penyertaan dalam kursus ini diharapkan dapat memperkaya perspektif kepimpinan dan pengurusan Pusat Islam UUM, khususnya dalam meneroka pendekatan yang lebih strategik, kreatif dan mampan dalam pengurusan sumber serta pelaksanaan program.

Ilmu dan pengalaman yang diperoleh juga diharap dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh peranan Pusat Islam dalam menyokong agenda pembangunan dan kecemerlangan UUM.

Pusat Islam UUM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Sumber Manusia UUM serta AKEPT atas peluang yang diberikan kepada warga universiti untuk mengikuti kursus seumpama ini.

Peluang tersebut amat bermakna dalam memperkaya pengetahuan, memperluas perspektif serta meningkatkan kompetensi warga universiti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button