AKADEMI GOLF NASIONAL PERKENAL ASAS SUKAN GOLF KEPADA MURID SEKOLAH RENDAH MELALUI PROGRAM USR
UUM ONLINE: Kuala Lumpur, 30 Oktober 2026 – Akademi Golf Nasional (AGN), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur, yang melibatkan seramai 40 orang murid Tahun 3, 4 dan 5.

Program ini diketuai oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan & Hal Ehwal Pelajar) AGN, Prof. Madya Dr. Soo Hooi Sin dan dikendalikan oleh Jurulatih AGN, Sazanur Iman bin Salenin bersama 8 orang pelajar AGN yang menpunyai kemahiran golf. Sepanjang program, para murid diberi pendedahan kepada pengetahuan dan kemahiran asas sukan golf, khususnya teknik putting dan swing.

Bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif, murid-murid dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk menyertai aktiviti golf berbentuk permainan. Aktiviti turut diserikan dengan pertandingan bagi kedua-dua kemahiran, iaitu putting dan swing.
Kumpulan yang berjaya mencatat pencapaian terbaik bagi setiap aktiviti telah menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan dan galakan.

Menurut Guru Besar sekolah, sukan golf merupakan sukan yang boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, sama ada golongan berada mahupun kurang berkemampuan. Pendedahan awal seperti ini penting bagi membuka peluang kepada murid-murid untuk mengenali dan mencuba sukan golf.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Akademi Golf Nasional dalam memperluas akses dan minat terhadap sukan golf dalam kalangan generasi muda, di samping memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan dan pendidikan sukan.


