PELAJAR KOMUNIKASI UUM RAIH ANUGERAH KECEMERLANGAN PR DAN KOMUNIKASI PERINGKAT KEBANGSAAN
Berita dan gambar oleh: Adam Haikal Mohd Shamirizal.
PUTRAJAYA, 5 November 2026 – Pelajar Program Komunikasi tahun akhir, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Anissyazwani binti Mohd Noor, mengharumkan nama universiti apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Awam (PR) dan Komunikasi anjuran Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) dalam satu majlis yang berlangsung di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

Anugerah berprestij peringkat kebangsaan itu merupakan pengiktirafan terhadap kecemerlangan mahasiswa dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi, sekali gus mencerminkan potensi generasi muda untuk menjadi peneraju industri komunikasi yang kompeten, berdaya saing dan profesional.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), YBrs. Encik Erwin Khairul Ahmad bersama Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman.
Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian membanggakan yang membuktikan keupayaan pelajar komunikasi UUM untuk bersaing dan menyerlah di peringkat kebangsaan.
Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah memperlihatkan keberkesanan pendekatan pendidikan SMMTC yang menekankan keseimbangan antara penguasaan ilmu, kemahiran profesional, kepimpinan dan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti industri.

“Pengiktirafan daripada badan profesional seperti IPRM amat bermakna kerana ia memperlihatkan bahawa bakat dan kompetensi mahasiswa SMMTC turut mendapat perhatian serta pengiktirafan di peringkat industri.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus meningkatkan keupayaan diri, membina jaringan profesional dan merebut peluang yang dapat memperkukuh kebolehpasaran mereka selepas bergraduasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa SMMTC akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan badan profesional dan pemain industri komunikasi bagi memastikan mahasiswa memperoleh pendedahan yang relevan dengan keperluan serta perkembangan semasa industri.
Sementara itu, majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SMMTC, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad, bersama sembilan pelajar yang mewakili IPRM Student Association (IPRMSA) UUM Chapter, diketuai oleh Adam Haikal Mohd Shamirizal.

Kehadiran delegasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan SMMTC dalam memperkasakan penglibatan mahasiswa melalui persatuan profesional, khususnya sebagai platform membangunkan kepimpinan, memperluas jaringan industri dan meningkatkan kompetensi komunikasi dalam kalangan pelajar.
Anugerah Kecemerlangan PR dan Komunikasi yang diperkenalkan IPRM bermula tahun akademik 2026 merupakan inisiatif nasional bagi mengiktiraf pelajar terbaik daripada institusi pengajian tinggi yang mempunyai cawangan IPRMSA. Hadiah yang diterima oleh penerima anugerah adalah berupa trofi dan wang tunai RM500.
Dengan lebih 20 cawangan IPRMSA ditubuhkan di universiti awam dan swasta seluruh negara, inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat muda serta melahirkan generasi pelapis industri perhubungan awam dan komunikasi negara.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung sesi IPRM ChaLK yang menghimpunkan pemain industri dan ahli akademik sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman serta pandangan profesional berkaitan perkembangan semasa, cabaran dan hala tuju industri perhubungan awam dan komunikasi. Sesi ini turut memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri dalam usaha melahirkan graduan komunikasi yang kompeten dan memenuhi keperluan pasaran kerja.



