RG DELIMA SMMTC ANJURKAN BENGKEL UNTUK PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN SIBER DAN LITERASI DIGITAL KOMUNITI WARGA EMAS
Gambar oleh: En. Fakhrul Anuar Aziz
UUM ONLINE: SINTOK, 3 November 2026 – Kumpulan Penyelidik Digital Equity, Literacy and Inclusive Media Advancement (RG DELIMA), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Warga Emas Berdaya: Celik Media, Sejahteralah Kita bertempat di SMMTC hari ini.

Bengkel komuniti berimpak ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik agensi dan komuniti setempat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kubang Pasu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kubang Pasu, RTC Napoh, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Usia Emas. Program ini menghimpunkan seramai 40 orang peserta berumur antara 60 hingga 78 tahun, dari kalangan ahli PAWE bagi membina daya tahan dan literasi media digital mereka.
Turut hadir memberi sokongan padu sepanjang program berlangsung ialah Pengerusi Ikatan Usia Emas, Encik Wan Ahmad Wan Musa bersama Penyelia PAWE Kubang Pasu, Puan Siti Noor Aishah Saleh, dan Pembantu Penyelia, Puan Nor Azura Ahmad.
Inisiatif di bawah portfolio RG DELIMA, SMMTC ini berhasrat memastikan kesaksamaan digital (digital equity) dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat, khususnya warga emas. Melalui pelaksanaan bengkel ini, para peserta berupaya menguasai fungsi asas telefon pintar, menilai kesahihan sumber, mengenal pasti tanda-tanda penipuan (scam), melindungi maklumat sensitif seperti nombor akaun bank, serta mengetahui saluran tepat untuk mendapatkan bantuan segera.

Sepanjang sesi empat jam tersebut, peserta mengikuti empat aktiviti permainan interaktif, antaranya mengenal pasti ciri-ciri mesej, pautan palsu, dan panggilan meragukan, jenis penipuan atas talian, simulasi langkah perlindungan diri apabila berhadapan situasi kecemasan siber, dan pengenalan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dari aspek output pelaksanaan, program ini berjaya menghasilkan satu siri bengkel berstruktur, dua modul latihan khusus, kit peserta, dan satu laporan pelaksanaan yang mendokumentasikan rekod kehadiran, kemajuan kemahiran (penilaian pra dan pasca bengkel), serta maklum balas peserta. Bahan latihan yang dibangunkan ini turut dirangka agar dapat diguna pakai untuk latihan komuniti PAWE yang lain, dengan pemantauan berterusan RG DELIMA dan JKM.
Selain manfaat langsung kepada komuniti, penganjuran ini mencatat jangkaan hasil program dalam bentuk Pulangan atas Nilai (ROV) yang signifikan kepada universiti. Ini merangkumi pencapaian dalam Domain C iaitu penglibatan berterusan dengan maklum balas atau manfaat awal melalui program pemindahan ilmu, serta Domain E bagi aktiviti yang selari dengan keutamaan strategik universiti.

Sesi bengkel melabuhkan tirainya dengan rumusan menyeluruh, maklum balas peserta, serta sesi bergambar kenang-kenangan. Peserta juga dibawa melawat taman rusa, burung unta, Dewan Muadzam Shah dan sekitar kampus.
Semua peserta menyatakan keterujaan dan berpuas hati dengan pelaksanaan bengkel dan layanan pihak UUM, selain mengharapkan pengisian topik yang lebih pelbagai, santai dan sesuai dengan keperluan warga emas.
Inisiatif pemindahan ilmu ini membuktikan peranan aktif universiti dalam mendekati komuniti akar umbi ke arah mewujudkan masyarakat celik digital yang madani, selamat, dan sejahtera.



