Education

PASUKAN INOVASI UUM KETENGAHKAN ECOPRESS BRICK DALAM PROGRAM N.E.X.U.S 2026

Berita dan Gambar: Dr. Maheera Binti Mohamad, Log. Ts. Dr. Chuah Lai Fatt

KUALA LUMPUR – Satu detik yang membanggakan buat Universiti Utara Malaysia (UUM) Pasukan inovasi yang diketuai oleh Dr. Maheera Binti Mohamad selaku ketua projek, di bawah bimbingan Log. Ts. Dr. Chuah Lai Fatt sebagai mentor, bersama tiga orang pelajar iaitu Ng Jing Yin, Ang Yen Yen dan See Sze Xuan, serta dibantu oleh pembantu penyelidik (RA), Nur Azean Baharom dan Tunku Muhammad Al-Amin, telah menyertai National Eco-Tech Xceleration for University Studentpreneurs (N.E.X.U.S) Bootcamp 2026 yang berlangsung pada 4 hingga 7 November 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Penyertaan ini mencerminkan komitmen pasukan dalam membangunkan inovasi teknologi hijau yang mampan.

Program N.E.X.U.S 2026 merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini menghimpunkan usahawan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi bagi memperkenalkan idea kreatif dan inovasi teknologi hijau. Program ini turut menyediakan platform kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan, membentangkan produk inovatif serta meneroka potensi pengkomersialan. Projek yang diketengahkan oleh pasukan UUM ialah “EcoPress Brick: Environmentally Safe Pressmud-Cement Bioaggregate Brick”, yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan bahan binaan mesra alam.

EcoPress Brick merupakan inovasi bata mesra alam yang dihasilkan menggunakan pressmud, iaitu bahan sampingan daripada industri penapisan gula, sebagai sebahagian daripada campuran bata berasaskan simen. Inovasi ini bertujuan mengurangkan sisa industri dan menghasilkan bahan binaan yang lebih ringan serta mampan.

Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Dr. Maheera Binti Mohamad, Log. Ts. Dr. Chuah Lai Fatt, Ng Jing Yin, Ang Yen Yen, See Sze Xuan, Nur Azean Baharom dan Tunku Muhammad Al-Amin atas komitmen dan usaha dalam menjayakan penyertaan ini. Penghargaan turut ditujukan kepada Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida binti Abu Bakar serta semua pihak yang terlibat atas bimbingan dan sokongan yang diberikan. Semoga penyertaan dalam program N.E.X.U.S 2026 menjadi langkah penting ke arah pembangunan dan pengkomersialan inovasi hijau yang mampu mengharumkan nama universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button