IHM PERKASA KOMPETENSI FELO DAN HALA TUJU STRATEGIK MELALUI PEMANTAPAN ILMU SERTA LAWATAN INDUSTRI
Gambar oleh Dr Nor Aina Mhd Khotib
LANGKAWI, 6–7 November 2026 – Institut Pengurusan Halal (IHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemantapan Kompetensi Felo dan Pengukuhan Strategik IHM selama dua hari bertempat di Resorts World Langkawi. Program ini disertai oleh enam orang Felo IHM yang diketuai oleh Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib.

Penganjuran program ini bertujuan menyediakan platform perbincangan dan perkongsian ilmu dalam kalangan felo bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan terhadap pelbagai aktiviti serta inisiatif yang dilaksanakan oleh IHM. Selain memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi individu, program ini turut menekankan kepentingan penyelarasan hala tuju institut agar kekal relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa industri halal yang semakin dinamik.
Antara agenda utama yang diberi perhatian ialah pemerkasaan aktiviti penyelidikan dan penerbitan ilmiah sebagai salah satu usaha memperkukuh sumbangan akademik IHM dalam bidang halal. Para felo telah membincangkan cadangan penerbitan buku yang menghimpunkan kepakaran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang berkaitan pengurusan halal. Perbincangan turut menyentuh potensi penubuhan jurnal akademik IHM sebagai salah satu perancangan strategik jangka panjang. Inisiatif ini dilihat berpotensi menyediakan platform penerbitan khusus bagi penyelidikan berkaitan pengurusan halal, di samping menggalakkan perkongsian pengetahuan dan perkembangan kajian dalam bidang tersebut.
Dari aspek pemantapan kompetensi, para felo turut mengikuti sesi pembelajaran dan penerokaan yang lebih mendalam berkaitan penggunaan sistem MYeHALAL, iaitu sistem yang digunakan dalam pengurusan permohonan pensijilan halal di Malaysia. Pengisian ini memberi peluang kepada para felo untuk meningkatkan kefahaman tentang fungsi dan penggunaan sistem tersebut, sekali gus memperkukuh pengetahuan berkaitan proses serta keperluan permohonan pensijilan halal. Penguasaan pengetahuan yang lebih menyeluruh berkaitan MYeHALAL diharapkan dapat membantu para felo menyampaikan maklumat yang lebih jelas, tepat dan bersesuaian dengan keperluan peserta latihan, khususnya dalam kalangan pengusaha industri makanan dan pihak yang terlibat dalam pengurusan halal.

Selain itu, sesi perbincangan strategik turut memberi perhatian kepada usaha menambah baik kandungan dan pendekatan penyampaian modul latihan IHM, khususnya bagi program ceramah kesedaran halal dan Latihan Eksekutif Halal. Penambahbaikan ini merangkumi penelitian terhadap kesesuaian topik, kedalaman kandungan serta pengintegrasian contoh dan isu sebenar industri dalam pengisian latihan. Usaha tersebut bertujuan memastikan modul yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi objektif pembelajaran, malah mampu memberikan pengetahuan yang praktikal dan relevan kepada peserta daripada pelbagai latar belakang. Para felo turut berkongsi pandangan berhubung pendekatan penyampaian yang lebih berkesan agar program latihan IHM terus memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan dalam industri halal.
Sebagai pelengkap kepada pengisian program, pada 7 November 2026, delegasi Felo IHM turut mengadakan lawatan industri ke dua buah kilang pemprosesan makanan di Pulau Tuba, Langkawi, iaitu kilang keropok keping KROOP yang telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan kilang keropok lekor Lekoshow yang sedang dalam usaha untuk memohon pensijilan halal. Lawatan ke kedua-dua kilang tersebut memberikan peluang kepada para felo untuk meneliti secara lebih dekat amalan pengurusan halal dalam dua situasi yang berbeza, iaitu premis yang telah memperoleh pensijilan halal dan premis yang sedang membuat persediaan ke arah mendapatkan pensijilan tersebut.

Menurut Dr. Aina, pendedahan melalui lawatan seumpama ini amat penting dalam memperkayakan pengalaman dan meningkatkan keupayaan pemerhatian Felo IHM terhadap operasi premis makanan yang berhasrat mendapatkan pensijilan halal. Pengalaman lapangan tersebut juga dapat membantu felo menghubungkan pengetahuan teori dengan amalan sebenar industri.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program Pemantapan Kompetensi Felo dan Pengukuhan Strategik IHM ini mencerminkan komitmen berterusan institut dalam memperkasakan kepakaran, meningkatkan kualiti latihan serta memperkukuh perancangan strategik organisasi. Gabungan sesi perkongsian ilmu, perbincangan hala tuju dan lawatan industri telah menyediakan ruang yang bermakna kepada para felo untuk memperluas pengetahuan, berkongsi pengalaman serta mengenal pasti peluang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara berterusan.



