Education

DUA GRADUAN TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA BEKERJA DI SYARIKAT MALTINASIONAL, MELEBIHI GAJI PREMIUM

Gambar oleh: Jurufoto, JKK, UUM

SINTOK, 15 November 2026 – Kecemerlangan akademik yang disulami kepimpinan, kesungguhan dan komitmen terhadap masyarakat menjadi landasan kejayaan tiga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila masing-masing menerima pengiktirafan berprestij pada Istiadat Konvokesyen UUM Kali Ke-39, Sidang Pertama, di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Dua graduan menerima Anugerah Pelajaran Diraja, iaitu Irfan Umar Mohd Nor Fazly, 24, graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian dan Ooi Sze Qin, 24, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Pemutusan).

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Canselor UUM, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Irfan berjaya menamatkan pengajian asasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.97 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Perakaunan (Sistem Maklumat) dan menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dengan PNGK 3.98.

Kecemerlangannya turut mendapat pengiktirafan apabila terpilih sebagai penerima Biasiswa KPMG Young Star. Beliau juga menerima Malaysian Institute of Accountants (MIA) National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2024 sebagai salah seorang daripada 17 penerima di seluruh negara, sekali gus melayakkannya menerima tajaan untuk melanjutkan pengajian profesional bagi memperoleh kelayakan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Lebih membanggakan, beliau kini berkhidmat sebagai Experienced Audit Associate di KPMG, sebuah firma audit Big Four yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Prestasi kerja cemerlang membolehkannya dinaikkan pangkat kepada jawatan tersebut selepas sembilan bulan berkhidmat. Antara tanggungjawabnya termasuk melaksanakan audit penyata kewangan, menilai risiko dan kawalan dalaman serta menjalankan ujian substantif.

Di sebalik pencapaian akademik dan kerjaya, Irfan turut aktif dalam kepimpinan mahasiswa menerusi penglibatan bersama NOVAC-TISSA Accounting Club. Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Exco Akademik, Unit Polisi NOVAC-TISSA, Ketua Kualiti, Prestasi dan Kebajikan, Setiausaha serta Ketua Juruaudit Dalaman. Sumbangannya turut diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Best Male Committee NOVAC-TISSA bagi tahun 2023 dan 2024.

Beliau juga menyertai pelbagai pertandingan seperti KPMG Padawan 2024, Dell Business Challenge 2023 dan Sunway Asian Parliamentary Debate 2022. Dalam bidang sukan, beliau mewakili UUM dalam acara memanah recurve pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024.

Komitmennya terhadap masyarakat dizahirkan melalui penglibatan dalam program KPMG Beach Cleanup 2025, Call 4 Action 1.0: Pesta Lebaran, Call 4 Action 2.0: Animal Lives Matter serta NOVAC-TISSA Tutors dan Love Maths bersama Yayasan Mohd Khairi. Beliau turut berkongsi kandungan pembelajaran menerusi platform TikTok bagi membantu pelajar lain memahami ilmu dengan lebih mudah.

Berkongsi rahsia kejayaan, Irfan menekankan tiga perkara utama, iaitu membina sistem pembelajaran yang sesuai dengan potensi diri, membuat pilihan dan pengorbanan secara bijak serta memilih lingkungan rakan yang positif sebagai sistem sokongan.

Menurutnya, setiap pilihan memerlukan pengorbanan, manakala keputusan yang dibuat pada hari ini akan mempengaruhi hasil yang diperoleh pada masa hadapan. Beliau turut menekankan kepentingan memilih rakan yang saling memahami, menyokong dan mempercayai antara satu sama lain, khususnya ketika berhadapan dengan tuntutan akademik serta tanggungjawab organisasi.

Sementara itu, Ooi Sze Qin dari Taiping, Perak, membuktikan keupayaannya dalam bidang Sains Pemutusan apabila berjaya menamatkan pengajian dengan PNGK 3.89 dan memperoleh Ijazah Kelas Pertama, selain menerima Anugerah Dekan pada setiap semester.

Bermula dengan pencapaian PNGK 3.75 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sze Qin terus mengekalkan momentum kecemerlangan apabila melanjutkan pengajian di UUM dalam bidang yang menggabungkan kemahiran analisis data, pemodelan, statistik, simulasi dan pembuatan keputusan.

Keupayaannya mengaplikasikan ilmu dalam penyelesaian masalah turut membuahkan hasil apabila projek tahun akhirnya bertajuk Modeling Operations of McDonald’s Bandar Tun Hussein Onn Using Discrete Event Simulation Approach meraih Hadiah Gangsa bagi kategori Best Developer pada The 6th Young Researcher’s Quantitative Symposium (YRQS2026), pada 6 Januari 2026.

Selain cemerlang dalam akademik, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Presiden dan Naib Presiden Kelab SKUASY UUM dari Oktober 2023 hingga Oktober 2025. Penglibatannya dalam aktiviti universiti turut merangkumi UUM Fun Run 2023 apabila beliau menganggotai pasukan pengurusan sebagai Setiausaha Program.

Komitmennya terhadap masyarakat turut terserlah melalui penglibatan sebagai sukarelawan dalam kira-kira 30 program universiti, termasuk Program Gegar KPT Kampus Sihat 2022, Career Preparatory Workshop dan Temu Anwar Kedah.

Selepas menamatkan latihan industri, beliau ditawarkan untuk meneruskan kerjaya sebagai Business Analyst di AstraZeneca Asia Pacific Business Services, yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, graduan Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian, atas pencapaian akademik serta penglibatan aktif dalam kepimpinan dan pembangunan mahasiswa.

Bagi Aina Najihah Safaruddin pula, pengiktirafan Anugerah Pingat Emas Canselor melengkapkan perjalanan pengajian yang bukan sahaja menonjolkan pencapaian akademik, malah memperlihatkan keupayaannya memimpin, mengurus organisasi dan menyumbang kepada pembangunan mahasiswa.

Graduan yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Perak itu menamatkan pengajian Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dengan PNGK 3.76 serta menerima Anugerah Dekan bagi beberapa semester. Pencapaian akademiknya turut diiktiraf menerusi Anugerah Aktif Cemerlang Komunikasi bagi Tahun 2 dan Tahun 3.

Sepanjang pengajian, Aina diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan kepimpinan, antaranya Timbalan Presiden Kelab Patriot Chapter Perak, Ketua Exco Akademik Persatuan Komunikasi UUM (PERKOM) serta Exco Akademik dan Latihan Institute of Public Relations Malaysia Student Association (IPRMSA) UUM.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Exco Protokol Kelab Patriot Chapter Perak dan Exco Latihan dan Akademik Jawatankuasa Pembangunan Siswa Inasis Malaysia Airlines. Selain itu, beliau turut terlibat sebagai Sekretariat Parlimen Mahasiswa UUM bagi sesi 2022/2023, Ahli Jawatankuasa Minggu Siswa bagi sesi 2024/2025 dan menyertai International Student Mobility Programme (ISEP).

Keupayaannya dalam pengurusan program turut terserlah apabila diberi tanggungjawab sebagai pengarah bagi lima program mahasiswa, iaitu Resume and LinkedIn Workshop: Tips and Tricks for Success, Mini KPO: Streamlining Paperwork Mastery, Comm Ready to Roar 2023, SIK Power: Community Empowering in UUM dan Event Alchemy: Tips and Techniques.

Selepas menamatkan pengajian, Aina meneruskan perjalanan kerjayanya melalui Program Protégé di Sime Darby Property, Selangor, sebagai kesinambungan kepada ilmu dan kemahiran yang dibina sepanjang pengajian, khususnya dalam bidang komunikasi, pengurusan organisasi dan hubungan interpersonal.

Kejayaan ketiga-tiga graduan ini memperlihatkan bahawa kecemerlangan di universiti tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut dibentuk oleh kesediaan memimpin, keberanian meneroka peluang, kesungguhan berbakti dan keupayaan memanfaatkan ilmu untuk masyarakat.

Pengiktirafan yang diterima bukan sekadar meraikan kejayaan individu, malah menjadi bukti bahawa usaha berterusan, sokongan keluarga serta bimbingan warga akademik mampu membentuk graduan yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button