EducationFeatured News

ANAK YATIM DUNGUN GENGGAM IJAZAH KELAS PERTAMA, BAHAGIAKAN IBU

Gambar oleh: Jurufoto JKK, UUM

UUM ONLINE: Sintok, 17 November 2026 – Pada usia lima tahun, tatkala kanak-kanak lain masih leka mengejar pelangi di halaman rumah, dunia kecil Nur Suraini Saulamit sudah pun direntap oleh dua kehilangan yang merobek jiwa.

Pemergian ayah tercinta yang menjadi tempat bergantung harap, disusuli pula pemergian abang keduanya hanya dua bulan kemudian, meninggalkan parut yang dalam buat sebuah keluarga di Dungun, Terengganu.

Namun, daripada serpihan duka itulah tumbuh sebatang pohon ketabahan yang kian merimbun.

Hari ini, pada usia 23 tahun, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berdiri megah di pentas Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-39, Sesi Keempat, menggenggam Ijazah Kelas Pertama dalam Program Sarjana Muda Undang-Undang, sekali gus melakar sejarah sebagai permata pertama dalam keluarganya yang berjaya menjejakkan kaki hingga ke menara gading.

Pro-Canselor UUM, Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff, menyampaikan ijazah berkenaan.

Langkahnya kini kian menghampiri gerbang cita-cita apabila sedang menjalani latihan dalam kamar (chambering) di firma guaman Khairul Sofian Anuar & Co. sebagai langkah awal merealisasikan impian untuk bergelar seorang peguam.

Di sebalik jubah konvokesyen yang tersarung indah di tubuhnya hari ini, tersembunyi kisah keringat dan air mata seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti lelah.

Sejak kehilangan suami di sisi, ibunya yang dahulunya sekadar suri rumah terpaksa menyarung perisai ketabahan demi membesarkan lapan orang anak seorang diri.

Tanpa kelulusan pendidikan yang tinggi, kudrat wanita tabah itu dikerah untuk melakukan apa jua pekerjaan halal, termasuk mengemas rumah orang, membasuh pakaian dan berniaga di kantin, asalkan keperluan keluarga terus mencukupi dan anak-anaknya tidak kelaparan.

Beban kehidupan yang menghimpit turut menuntut pengorbanan abang sulungnya, yang rela memadamkan bara impian untuk menyambung pengajian demi keluar bekerja bagi membantu ibu menyara adik-adik yang masih kecil.

Saat mengimbau kembali episod luka dan pengorbanan itu, suara Nur Suraini bergetar.

Berkali-kali bicaranya terhenti, tangannya menggenggam erat dada seolah-olah cuba menahan sebak yang menyesakkan nafas, tatkala air mata jernih mula bergenang di kelopak mata, menzahirkan betapa dalamnya kasih dan penghargaan terhadap insan yang menjadi tunjang kekuatan keluarga itu.

“Apabila semakin dewasa, saya mula sedar bahawa banyak impian yang terpaksa mereka ketepikan demi memastikan kami adik-beradik dapat meneruskan kehidupan.

“Saya mungkin tidak memahami sepenuhnya pengorbanan mereka ketika kecil, tetapi hari ini saya sedar betapa besarnya pengorbanan itu,” luahnya perlahan, sarat dengan rasa terhutang budi.

Perjalanannya memburu segulung ijazah tidak pernah dihampari permaidani merah.

Ketika melangkah ke peringkat asasi, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara semata-mata untuk melunaskan yuran pengajian.

Pada awal pengajian pula, ketiadaan komputer riba sendiri menjadi kekangan yang memeritkan.

Namun, Tuhan mengirimkan insan-insan berhati mulia apabila dua orang pensyarahnya, Madam Namirah binti Mohd Akahsah dan Madam Atifah binti Othman, bermurah hati menghadiahkan sebuah komputer riba untuk kegunaan pengajiannya.

Sungguh, komputer riba itu merupakan pemberian yang amat bermakna dan masih digunakannya sehingga ke hari ini.

“Bagi orang lain mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi saya tidak pernah lupa kebaikan mereka. Komputer riba itulah yang saya gunakan sehingga hari ini,” katanya mengenang budi yang tidak ternilai.

Sinar rezeki terus menyapa tatkala dia melangkah ke UUM menerusi bantuan kewangan daripada Yayasan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang meringankan beban kewangannya sepanjang pengajian.

Kesungguhannya membalas kepercayaan itu diterjemahkan melalui kecemerlangan akademik apabila berjaya meraih Anugerah Dekan bagi beberapa semester sehingga pinjaman pendidikan Yayasan Terengganu yang diterimanya ditukarkan kepada biasiswa penuh.

Baginya, nikmat itu adalah rezeki luar biasa sebagai anak Terengganu yang membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan alasan untuk tunduk mengalah, sebaliknya menjadi kekuatan untuk melakar kejayaan yang lebih besar.

Segala pencapaian yang dikecapi hari ini didedikasikan sepenuhnya buat sang ibu yang menjadi sumber kekuatan terbesar, abang-abangnya yang ikhlas memikul peranan sebagai figura seorang ayah selepas pemergian arwah, serta kakak, adik dan sahabat handai yang setia menemani langkahnya sepanjang bergelar mahasiswa.

Dalam nada penuh pengharapan, Nur Suraini menitipkan bicara hati buat dua insan yang telah pergi menghadap Ilahi, yang kini hanya mampu didakap melalui untaian doa.

“Buat arwah ayah dan abang, saya harap kalian dapat melihat perjalanan saya dari sana. Saya harap kalian tahu bahawa anak dan adik yang pernah ditinggalkan ketika masih kecil ini akhirnya berjaya sampai ke tahap ini.

“Jika hari ini saya berdiri dengan segulung ijazah, sebenarnya ada pengorbanan seorang ibu, impian yang dilepaskan oleh seorang abang dan kasih sayang sebuah keluarga di sebaliknya.

“Saya mungkin tidak mampu membalas segala pengorbanan mereka, tetapi saya berharap kejayaan ini dapat menjadi salah satu sebab mereka tersenyum bangga,” tuturnya penuh syahdu.

Bagi seorang ibu yang telah mengharungi badai kehidupan membesarkan lapan cahaya mata tanpa suami di sisi, kejayaan Nur Suraini adalah penawar segala duka.

Buat Nur Suraini sendiri, Ijazah Kelas Pertama ini bukanlah sekadar pencapaian peribadi, melainkan hadiah paling bermakna buat wanita yang tidak pernah berhenti berkorban demi masa depannya, sambil menyimpan tekad untuk segera bergelar peguam demi membalas setiap titis keringat yang pernah tumpah.

“Saya datang daripada keluarga yang sederhana, tetapi saya dibesarkan dengan pengorbanan yang luar biasa. Hari ini, saya hanya mahu mengatakan bahawa segala pengorbanan itu tidak pernah sia-sia. Alhamdulillah,” katanya, menutup sebuah kisah air mata yang kini mekar menjadi inspirasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button