Education

STI 100³ MENYEMAI MINDA ANALITIK MELALUI PENEROKAAN ROBOTIK

Berita dan gambar oleh: Dr. Fazillah Mohmad Kamal dan Dr. Norhayati Yusof

BUKIT KETERI, 24 November 2026: Ada sesuatu yang istimewa apabila seorang anak sekolah rendah tahun empat yang menganggap matematik itu sukar akhirnya tersenyum melihat robot yang diprogramkannya berjaya bergerak.

Di sebalik senyuman itu terselit keyakinan terhadap potensi dirinya. Itulah keindahan pendidikan apabila ilmu bukan sekadar dipelajari tetapi diterokai dan dialami sendiri.

Pengalaman pembelajaran ini diterokai oleh murid Sekolah Kebangsaan Dato’ Kayaman, Bukit Keteri, Perlis menerusi program STEM Robotic Exploration di bawah inisiatif pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI 100³) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Program ini digerakkan oleh sekumpulan ahli akademik dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Labiyana Hanif Ali bersama Puan Norhafiza Mohd Noor, Dr. Norhayati Yusof, Dr. Ros Idayuwati Alaudin dan Ts. Dr. Fazillah Mohmad Kamal.

Usaha ini membawa ilmu matematik dan teknologi lebih dekat dengan generasi muda melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Dilaksanakan menerusi tiga sesi pembelajaran yang berlangsung dalam dua hari, program ini merangkumi pengenalan dan pengukuhan konsep asas pengaturcaraan serta aplikasi pengetahuan melalui aktiviti praktikal robotik.

Suasana pembelajaran yang penuh interaksi antara peserta dengan tenaga pengajar membuka ruang untuk mereka bertanya soalan, menguji idea, bekerjasama dan menyelesaikan pelbagai cabaran pengaturcaraan.

Melalui aktiviti tersebut, peserta bukan sekadar belajar memberikan arahan kepada robot tetapi turut meneroka bagaimana konsep matematik seperti sudut, jarak, turutan dan pola dapat diterjemahkan kepada pergerakan fizikal.

Pendekatan ini merapatkan jurang antara teori dengan aplikasi sebenar di samping memupuk pemikiran kreatif, penaakulan logik dan kemahiran penyelesaian masalah.

Apabila robot tidak bergerak seperti yang dirancang, di situlah pembelajaran sebenar bermula. Peserta belajar mengenal pasti punca kesilapan, menilai semula strategi dan mencuba penyelesaian baharu.

Tanpa disedari, mereka sedang membina cara berfikir seorang saintis dan jurutera. Pengalaman ini turut mendidik peserta bahawa kesilapan bukanlah suatu kegagalan tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran. Keberanian untuk mencuba semula merupakan asas penting dalam membentuk kreativiti, keyakinan diri dan daya tahan intelektual sejak usia muda.

Program turut diserikan dengan kehadiran pasukan Cytron Technologies yang menambah keterujaan peserta dalam menerokai dunia robotik.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian bersama-sama memeriahkan program ini. Kolaborasi antara akademia dan industri sebegini memperlihatkan betapa pentingnya tanggungjawab bersama dalam memperkaya pengalaman pembelajaran STEM generasi muda.

Hakikatnya, pembudayaan STEM bukan semata-mata tentang melahirkan generasi yang mahir menggunakan teknologi. Lebih daripada itu, usaha ini adalah untuk menyemai rasa ingin tahu, membina keberanian untuk mempersoalkan sesuatu dan memupuk keupayaan mencipta penyelesaian.

Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada pembentukan generasi pemikir dan pencetus inovasi pada masa hadapan.

Akhirnya, kejayaan terbesar bukanlah apabila sebuah robot mula bergerak, tetapi apabila seorang anak kecil mula menyedari betapa luasnya potensi yang dimiliki oleh fikirannya sendiri.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button