Education

UUM, MASJID BANI HASHIM METERAI PERJANJIAN PELESENAN APLIKASI IMAM

Berita dan gambar oleh: Haikal Syafiq Hashim

JITRA – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Masjid Bani Hashim Kariah Hosba memeterai perjanjian pelesenan Aplikasi IMAM bagi menyokong pengurusan kewangan masjid melalui penggunaan teknologi digital.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung pada 22 November 2026 di Masjid Bani Hashim Kariah Hosba, Jitra, Kedah. Melalui perjanjian tersebut, pihak masjid memperoleh lesen untuk menggunakan aplikasi berkenaan dalam pengurusan kewangan hariannya, termasuk pelaporan.

Pelesenan itu terhasil daripada kerjasama antara pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM dengan pihak masjid. Projek Aplikasi IMAM diketuai oleh Dr. Mohd Hisham Mohd Sharif, pensyarah TISSA.

Imam Masjid Bani Hashim Kariah Hosba, Haji Mahamad Nor bin Ahmad melahirkan rasa teruja dan penghargaan atas peluang memanfaatkan kepakaran pensyarah UUM dalam pengurusan masjid.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad “Melalui pelesenan ini, kami berharap Aplikasi IMAM dapat membantu pihak masjid menguruskan urusan hariannya dengan lebih teratur.

Kerjasama dengan pihak masjid juga memberi ruang kepada penyelidik UUM untuk memahami keperluan komuniti yang menggunakan aplikasi ini,” katanya.

Turut hadir ialah jawatankuasa pengurusan Masjid Bani Hashim Kariah Hosba, Timbalan Pengarah (Pengkomersialan) ICC, Prof Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, staf ICC, dan kumpulan penyelidik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button