Berita dan gambar oleh: Siti Hajar Aziz
SINTOK, 4 Mei – Kolokium Penyelidikan Pascasiswazah Pengajian Perakaunan Kali Ke-32 (Semester A252) telah berjaya dianjurkan pada 4 Mei 2026 secara dalam talian melalui platform Webex dengan menghimpunkan penyelidik pascasiswazah, penyelia dan ahli akademik bagi membincangkan isu-isu semasa dalam penyelidikan perakaunan dan kelestarian.
Kolokium tersebut telah dirasmikan oleh Dekan Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA-UUM), Raja Haslinda Raja Mohd. Ali.

Program ini menjadi platform akademik penting kepada calon Phd (Perakaunan) untuk membentangkan dan memperhalusi idea penyelidikan mereka melalui sesi perbincangan ilmiah bersama pembincang dan penyelia yang dilantik.
Pelbagai topik kontemporari telah dibentangkan, termasuk kecerdasan buatan dalam sistem maklumat perakaunan, pembuatan keputusan beretika dalam kalangan akauntan, prestasi kelestarian korporat, gelagat pematuhan cukai, serta transaksi pihak berkaitan dalam pasaran antarabangsa.

Dalam ucapan perasmian beliau, Dr. Raja Haslinda menekankan kepentingan kolaborasi penyelidikan, pemikiran kritis dan ketahanan akademik dalam menghasilkan penyelidikan perakaunan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat.

Beliau turut menggalakkan calon pascasiswazah untuk terus memperkukuh kualiti penyelidikan dan usaha penerbitan selaras dengan perkembangan global dalam bidang perakaunan dan kelestarian.
Kolokium ini mencerminkan komitmen berterusan TISSA-UUM dalam memupuk penyelidikan pascasiswazah berkualiti tinggi serta memperkukuh kecemerlangan akademik dalam bidang pengajian perakaunan.



