Campus

UUM perkasa PKS Kubang Pasu melalui bengkel penyediaan buku tunai

Berita dan gambar: PM Dr. Idawati Ibrahim

CHANGLUN, 9 Mei 2026: Kesedaran mengenai kepentingan rekod kewangan yang sistematik terus diperkasakan dalam kalangan peniaga kecil menerusi bengkel di bawah projek Geran Inovasi Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertajuk “Pemerkasaan PKS Kubang Pasu melalui Penggunaan Lembaran Kerja DGTalFin”.

Bengkel yang dijalankan di Masjid Abidin, Sungai laka, memberi tumpuan khusus kepada penyediaan buku tunai, sebuah elemen yang dianggap kritikal namun sering diabaikan oleh golongan usahawan mikro.

Penyertaan bengkel tersebut terdiri daripada ahli qariah Sungai Laka yang merangkumi pelbagai latar belakang termasuk usahawan pencen, usahawan muda, serta usahawan wanita.

Penceramah program, Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berkata, ramai peniaga menganggap penyediaan buku tunai sebagai satu bebanan sedangkan ia adalah proses yang sangat ringkas jika diamalkan secara konsisten.

“Buku tunai sebenarnya sangat mudah disediakan tetapi selalu diabaikan oleh peniaga. Walaupun nampak remeh, ianya sangat signifikan terutama apabila usahawan ingin berurusan dengan institusi kewangan untuk tujuan pinjaman atau bagi pengurusan percukaian,” ujar beliau.

Dalam bengkel selama setengah hari itu, peserta bukan sahaja didedahkan dengan kaedah teknikal penyediaan buku tunai, malah turut dibekalkan dengan tip mudah untuk memulakan catatan harian tanpa rasa terbeban.

Menurut Dr. Idawati, konsisten adalah kunci utama dalam memastikan buku tunai dapat menjadi dokumen rujukan yang sahih bagi menggambarkan kedudukan kewangan sebenar sesuatu perniagaan.

Program pemindahan ilmu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UUM untuk memastikan komuniti setempat, khususnya di Changlun, mampu bersaing dan mempunyai pengurusan perniagaan yang lebih profesional selaras dengan tuntutan ekonomi semasa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button