Campus

IBS-UUM perkukuh hubungan strategik bersama UIN Palangka Raya, Indonesia

Berita dan gambar oleh: Dr. Noraini Yusuff

SINTOK, 10 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia terus memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Universitas Islam Negeri Palangka Raya dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung di Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Delegasi UIN Palangka Raya telah diketuai oleh Prof. Dr. H. Ahmad Dakhoir bersama barisan pengurusan universiti.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah wakil daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Pusat Pengajian Undang-undang, Pusat Pengajian Pendidikan serta Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa.

Pertemuan strategik tersebut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan dua hala antara kedua-dua institusi, sekali gus membuka ruang kerjasama akademik yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Antara fokus utama perbincangan termasuk pelaksanaan program dwi-ijazah, mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan kolaboratif serta pemerkasaan penerbitan ilmiah antarabangsa.

Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, UUM sentiasa komited untuk memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa yang mampu memperkukuh kecemerlangan akademik serta memperkayakan pengalaman pembelajaran global kepada pelajar dan pensyarah.

Sementara itu, Prof. Dr. H. Ahmad Dakhoir turut menyatakan harapan agar hubungan strategik antara UUM dan UIN Palangka Raya dapat diperkukuhkan secara berterusan demi pembangunan pendidikan tinggi Islam yang lebih progresif dan berimpak tinggi di rantau Asia Tenggara.

Selain sesi perbincangan rasmi, delegasi UIN Palangka Raya turut dibawa melawat beberapa mercu tanda dan kemudahan utama kampus UUM Sintok seperti Anjung Tamu UUM, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Varsity Mall UUM serta Akademi Golf UUM.

Delegasi berkenaan melahirkan rasa kagum dan teruja dengan keindahan landskap kampus serta kemudahan bertaraf antarabangsa yang dimiliki oleh UUM.

Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama antara UUM dan UIN Palangka Raya dalam membina ekosistem pendidikan tinggi Islam yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button