Campus

Program hala tuju kecemerlangan & majlis apresiasi IBS 2026 berlangsung meriah

Gambar oleh: Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

SINTOK, 7 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Program Hala Tuju Kecemerlangan & Majlis Apresiasi IBS 2026 bertempat di EDC, UUM bagi menghargai pencapaian serta komitmen warga IBS dalam memacu kecemerlangan akademik dan organisasi.

Majlis yang berlangsung telah menghimpunkan para pensyarah dan staf pentadbiran dalam suasana penuh gemilang dan bermakna. Program ini bertujuan memperkukuhkan hala tuju kecemerlangan IBS selain menyuntik semangat motivasi dalam kalangan warga universiti untuk terus mencapai prestasi terbaik.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan khas iaitu Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Ahli Senat Universiti.

Beliau turut merasmikan program ini yang diraikan bersama penghargaan kepada staf serta sambutan Jubli Kristal 15 Tahun IBS, sekali gus menzahirkan sokongan padu terhadap usaha IBS dalam memperkasakan pendidikan perniagaan Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan tema “Memacu Kecemerlangan Demi Kesejahteraan Ummah”, pelbagai penghargaan dan anugerah telah disampaikan kepada staf yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik, pengurusan serta pembangunan pusat pengajian.

Program ini turut diraikan bersempena pencapaian membanggakan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan IBS di peringkat nasional serta antarabangsa. Antaranya, UUM telah tersenarai pada kedudukan ke-491 dalam QS World University Rankings 2026 selain berada pada kedudukan 101-150 dunia bagi bidang Accounting and Finance.

Malah, UUM turut diiktiraf sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam bidang Accounting and Finance berdasarkan penarafan QS 2026.

Dalam masa yang sama, IBS UUM terus mengukuhkan reputasi sebagai peneraju pendidikan perniagaan Islam apabila menjadi program Perniagaan Islam pertama yang memperoleh akreditasi AACSB sejak tahun 2016.

IBS juga telah mencapai pengiktirafan Tier 1 (Global Leaders) apabila disenaraikan antara 30 institusi kewangan Islam terbaik dunia berdasarkan Web of Science (WoS) bagi tahun 2026. Selain itu, IBS turut menduduki tempat ketujuh dunia dalam senarai Top 30 Business Schools of the Islamic Economy 2026 oleh Salam Gateway.

Prof. Madya Dr. Norazlina selaku pengarah program berharap program seumpama ini dapat menjadi platform untuk menghargai usaha dan dedikasi warga IBS di samping mengukuhkan budaya kecemerlangan bersempena sambutan 15 tahun IBS serta selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia sebagai universiti pengurusan terkemuka.  – Noor Hasliza Binti Abdul Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button