Bengkel penulisan akhbar beri panduan hasilkan artikel berkualiti
Gambar oleh: Ts. Dr. Fazillah Mohmad Kamal & Zamalik Hassan
SINTOK, 27 April 2026 – Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program bertajuk How to Get Your Article Published in Newspaper: Writing Tips, Strategies & Publishing Guide yang berlangsung di Bilik Serbaguna SQS (BSG), hari ini.
Program dari pukul 9.00 hingga 11.30 pagi itu menampilkan Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim dari Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) sebagai penceramah jemputan.

Sesi tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menghasilkan penulisan berkualiti serta strategi untuk menembusi ruangan akhbar arus perdana.
Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim bukanlah nama asing dalam dunia penulisan akhbar apabila beliau mula menulis di Berita Harian sejak tahun 2017. Sepanjang penglibatannya, pelbagai artikel telah diterbitkan yang menyentuh isu semasa dan masyarakat.
Antara topik yang pernah diketengahkan termasuk konflik Asia Barat, kenaikan kos sara hidup, Akta Iltizam Reformasi Perkhidmatan Awam serta isu kemiskinan yang menjadi cabaran kepada pelajar yang gagal SPM.
Menurut beliau, penulisan di akhbar bukan sahaja menjadi medium perkongsian ilmu, malah mampu membina reputasi sebagai pakar dalam bidang tertentu. Katanya, ahli akademik dan penyelidik wajar memanfaatkan hasil penyelidikan masing-masing untuk diterjemahkan dalam bentuk artikel yang mudah difahami oleh masyarakat.

“Penulisan yang baik tidak semestinya terlalu formal. Gaya santai tetapi sarat dengan fakta lebih mudah menarik minat pembaca,” katanya semasa sesi perkongsian.
Program ini turut membuka ruang kepada warga universiti memahami teknik pemilihan tajuk, penggunaan gaya bahasa yang sesuai serta prosedur menghantar artikel kepada pihak media.
Penganjuran program seumpama ini diharap menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai penulis dalam kalangan akademia yang bukan sahaja mampu menyampaikan ilmu, malah berperanan sebagai suara pemikir yang mencorakkan wacana masyarakat melalui media arus perdana. – Prof. Madya Dr. Hasimah Sapiri



