Delegasi Fakultas Hukum UNIKU teroka potensi kerjasama akademik dan penyelidikan dengan SOL
Gambar Ahmad Termizi Othman
SINTOK, 12 Februari 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah menerima kunjungan hormat dari Fakultas Hukum, Universitas Kuningan (UNIKU), Jawa Barat, Indonesia pada 10 Februari lalu.
Delegasi yang diketuai oleh Dekan Fakultas Hukum UNIKU, Prof. Dr. Suwari Akhmaddhian, S.H., M.H. hadir bersama tujuh staf termasuk Timbalan Rektor IV UNIKU, Dr. H. Haris Budiman, S.H., M.H. disambut Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama penjawat SOL.
Dr. Harlida berkata, SOL amat positif dan menyambut baik hasrat Fakultas Hukum UNIKU untuk berkolaborasi bagi memperbanyakkan penyelidikan dan penerbitan secara bersama dalam memanfaatkan kepakaran kedua belah pihak.
Perbincangan turut melihat potensi kerjasama lain yang boleh di usahakan antara SOL dan Fakultas Hukum UNIKU seperti program komuniti, webinar perkongsian ilmu, seminar dan akademik.
Kunjungan ini mampu menjadi pemangkin bagi mengeratkan hubungan kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan akademik dan antarabangsa bagi meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak berharap agar jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan bersama demi memupuk dan membina reputasi kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam bidang pengajian undang-undang serantau. – Zul Rusydi Hussin