Ikhlas Padawan 2.0 bentuk graduan lebih bersedia hadapi industri takaful
Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 19 April 2026: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) terus komited dalam memperkasa kebolehpasaran graduan dengan menganjurkan program perkongsian kerjaya bertajuk “Young Professionals in Takaful: Challenges and Opportunities” yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Islam UUM.
Program ini menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB), Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi serta Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Agensi TIFB, Ezwandy Mahidi. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah sebagai moderator.

Turut hadir ialah Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor; Pengarah Social Takaful Fund (STF), Dr. Mohamad Yazid Isa; Penyelaras School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Aidanajwa Sabri; para pensyarah IBS serta wakil-wakil agensi TIFB.
Menariknya, sebelum forum berlangsung, para peserta telah mengikuti sesi onboarding Ikhlas Padawan 2.0 di bawah inisiatif SoHK. Sesi ini melibatkan perkongsian pengalaman secara langsung antara peserta dan mentor daripada wakil agensi TIFB, sekali gus memberi pendedahan awal mengenai realiti kerjaya dalam industri takaful serta membina keyakinan diri peserta.
Sepanjang forum yang berlangsung selama satu jam itu, para panel berkongsi pengalaman serta pandangan mendalam mengenai landskap industri takaful masa kini, termasuk cabaran yang dihadapi oleh golongan profesional muda seperti persaingan tinggi, perubahan teknologi serta keperluan untuk sentiasa meningkatkan kemahiran diri.

Mengulas mengenai perubahan industri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TIFB, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi menjelaskan bahawa industri takaful kini sedang melalui fasa transformasi yang signifikan selari dengan perkembangan pendigitalan dan perubahan jangkaan pelanggan. Beliau turut menambah bahawa selain aspek teknologi, pembangunan modal insan dan kemahiran insaniah juga penting bagi memastikan golongan profesional muda kekal relevan dalam industri yang semakin kompetitif.
Sementara itu, Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Agensi TIFB, Ezwandy Mahidi berkongsi pandangan mengenai laluan kerjaya bagi graduan baharu dalam industri takaful. Mengulas lanjut, beliau menyenaraikan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh pelajar sebelum menamatkan pengajian iaitu kemahiran komunikasi yang berkesan, sikap proaktif dalam mencari peluang serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang dinamik.
Dalam masa sama, Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah menekankan kepentingan program seumpama ini sebagai platform untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri. Menurut beliau, pendedahan secara langsung daripada pemain industri mampu memberi gambaran sebenar kepada pelajar mengenai keperluan pasaran kerja masa kini.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat memberi impak positif kepada para peserta, khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan minat terhadap peluang kerjaya dalam sektor takaful. Diharapkan lebih banyak program seumpama ini akan terus dianjurkan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan industri.



