KSG MEET & GREET 4.0: Eratkan silaturahim mahasiswa, pensyarah dan alumni sejarah gunaan UUM
Berita dan Gambar oleh: Muhammad Najmudin Nadzri
SINTOK, 20 April 2026 – Biro Sukan dan Rekreasi, Kelab Sejarah Gunaan (KSG) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melabuhkan tirai program KSG MEET & GREET 4.0 dengan jayanya pada 17 April (Jumaat) lalu.
Berlangsung di Pentas Utama Inapan Siswa Sime Darby, program ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan barisan pensyarah, alumni UUM, dan Mahasiswa Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian dalam satu platform yang santai namun penuh bermakna.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mewujudkan ruang interaksi yang membolehkan para pensyarah dan mahasiswa saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Suasana yang mesra ini bukan sahaja berjaya memecahkan jurang formaliti di dalam bilik kuliah, malah mewujudkan hubungan yang lebih akrab dalam kalangan ahli kelab.
Lebih istimewa, penganjur turut menyelitkan sesi perkongsian bersama alumni bagi memberi pendedahan awal dan panduan kerjaya kepada para peserta.
Bagi menyuntik elemen keseronokan dan kerja berpasukan, pelbagai acara sukaneka telah dilaksanakan seperti Itik Sudu, Radio Rosak, Susun Cawan, Tiup Belon dan Red Light Green Light. Aktiviti riadah ini bukan sekadar hiburan, malah ia adalah serampang dua mata dalam memupuk semangat kerjasama, toleransi, dan komunikasi yang berkesan.
Penglibatan aktif semua pihak dalam sukaneka ini menjadikan program lebih segar dan menarik, sekali gus menepis persepsi bahawa bidang sejarah adalah sesuatu yang kaku. Melalui sesi ini juga, peserta dapat berinteraksi dan bertukar pandangan secara terbuka, memperkaya pengalaman mereka dengan nasihat-nasihat praktikal daripada para alumni yang telah menempuh alam pekerjaan.

Alumni UUM, Dr. Zulhilmi B Paidi berkongsi realiti sebenar dunia pekerjaan dan memecahkan stigma berhubung kebolehpasaran graduan sejarah. Beliau menekankan bahawa graduan Sejarah Gunaan memiliki prospek kerjaya yang meluas dan versatil, merentasi sektor pengurusan arkib, pemuliharaan warisan, pentadbiran awam, sehinggalah ke sektor korporat.
Dr Zulhilmi turut menitipkan pesanan agar mahasiswa proaktif mengasah kemahiran menganalisis secara kritis dan kecekapan berkomunikasi. Beliau juga turut mengigatkan mahasiswa untuk kembali menyumbang kepada program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian serta Universiti Utara Malaysia.
Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie, yang hadir menyempurnakan majlis perasmian program tersebut, meluahkan rasa bangga atas inisiatif Kelab Sejarah Gunaan berkenaan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan semangat kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar SLCP.
“Kita perlu sentiasa bergerak sebagai satu keluarga. Program sebegini amat penting bagi menghasilkan jiwa mahasiswa yang kental serta mewujudkan keakraban sesama warga pusat pengajian. Pada masa yang sama, ini adalah platform terbaik untuk kita terus mempromosikan keunikan dan kepentingan program Sejarah Gunaan kepada masyarakat luar,” ujar beliau.

“Jadilah mahasiswa yang sentiasa mencari dan mengangkat keilmuan, membina sahsiah diri yang cemerlang dan kental dengan keupayaan diri sendiri. Berikrarlah untuk menjadi masyarat terbaik yang membangun kembali masyarakatnya dengan tradisi ilmu,” tambah beliau.
Presiden Kelab Sejarah Gunaan, Muhammad Najmudin Nadzri menyifatkan program ini sebagai satu usrah yang mengumpulkan semua mahasiswa dan pensyarah bagi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian bagi mengenali antara satu sama lain.
“Keakraban yang dibina antara mahasiswa dan pensyarah harus sentiasa dilandasi dengan rasa hormat dan adab yang tinggi. Menghormati pensyarah bukan hanya soal adab, tetapi tanda kita memuliakan ilmu. Tanpa adab, ilmu sukar lekat di hati,” ulas beliau.
Beliau juga menyeru seluruh ahli kelab untuk terus menyokong program-program kelab pada masa hadapan dan bersama-sama membawa ilmu sejarah gunaan agar lebih dekat dengan komuniti masyarakat.
Pengarah Program, Muizzuddin Ridzwan melahirkan rasa syukur dengan kelancaran acara dan sambutan menggalakkan daripada ahli kelab.
“Objektif utama kami adalah untuk membawa ahli-ahli KSG untuk bekerjasama, dan berkomunikasi sekali gus menyokong matlamat untuk memperkukuh kesatuan sesama ahli Kelab Sejarah Gunaan,” ujar beliau.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis berlangsung.
Rata-rata peserta yang ditemui juga meluahkan rasa gembira dan teruja, terutamanya bagi mereka yang pertama kali menyertai program ini.

Peserta, Muhammad Dzul Idzhan Bin Mohd Azman dari Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, mengakui program ini memberikan pengalaman yang cukup berbeza.
“Program ini sangat menyeronokkan kerana kami bukan sahaja dapat beriadah, tetapi berpeluang bersembang santai dengan pensyarah dan senior, membuatkan kami rasa lebih dihargai dan bermotivasi.”
Secara keseluruhannya, inisiatif KSG MEET & GREET 4.0 ini dilihat sangat signifikan dan memberikan manfaat serba lengkap. Ia secara langsung menyokong usaha SLCP dan pihak universiti dalam melahirkan pelajar yang holistik, seimbang, dan berdaya saing.
Turut hadir dalam program tersebut Prof. Madya Dr. Solahuddin Bin Abdul Hamid, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Dr. Haslinda Hasan, Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian merangkap Ketua Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, dan Nurul Ieman Azizan Ahmad Ezzanee Azizan, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Sesi 2025/2026.
Program seperti ini diharap dapat memperkukuh jalinan silaturahim antara pendidik, pelajar, dan alumni, sekaligus melahirkan graduan Sejarah Gunaan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga tinggi nilai adab dan kesepakatannya dalam menempuh cabaran masa hadapan.
Penganjuran program ini merupakan manifestasi jelas kepada pegangan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu “Budi, Adab, Pemikiran” yang menjadi nadi kepada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja tajam pemikirannya dalam keilmuan sejarah, tetapi juga kaya dengan budi pekerti dan tinggi adabnya apabila menabur bakti kepada masyarakat kelak.”



